Komitmen diiktiraf

Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah puas hati usaha kerajaan negeri perangi rasuah, khasnya pembalakan haram.

KUCHING: Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) berpuas hati dengan usaha kerajaan negeri memerangi rasuah terutama berkaitan pembalakan haram.

Pengerusinya Tan Sri Johan Jaafar berkata, ia dijayakan lagi dengan komitmen Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang amat serius dalam menangani isu pembalakan haram di Sarawak.

“Malah, menurut Yang Amat Berhormat Ketua Menteri juga, ada di kalangan kilang haram ditutup dan saya percaya perkara ini dapat dilakukan kerana penguatkuasaan yang teratur selain komitmen beliau (Adenan) dalam soal ini.

“Beliau bukan sahaja memberi penegasan, malahan amaran kepada penguatkuasaan dan mereka yang bertanggungjawab bagi memastikan tidak berlaku lagi pembalakan haram di Sarawak. Ini adalah langkah positif yang panel alu-alukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Adenan yang dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Johan turut yakin isu rasuah di Sarawak secara amnya boleh ditangani oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri kerana mereka mempunyai perancangan tertentu bagi memastikan rasuah dapat dibanteras.

Katanya, semenjak Adenan mengambil alih kedudukan sebagai Ketua Menteri selama hampir dua tahun, banyak usaha beliau yang memuaskan hati panel kerana bertepatan dengan matlamat SPRM dan PPPR.

“Sementara itu dalam pertemuan tadi (semalam) kami membincangkan beberapa langkah yang kita percaya akan dapat mengurangkan ketirisan berkaitan dengan rasuah.

“Antaranya memperkukuhkan sistem perkomputeran dan pelbagai aspek daripada pengurusan kerajaan,” tegasnya sambil memberitahu antara lain memastikan jabatan serta agensi penguat kuasa diperkukuhkan.

Johan berkata, kunjungan itu merupakan yang kedua dilakukan panel ke atas pemimpin negeri selepas di Melaka pada April lepas.

Beliau menjelaskan, hasil daripada kedua-dua pertemuan berkenaan menunjukkan usaha kerajaan negeri Melaka dan Sarawak yang membuahkan hasil atas komitmen tinggi membantu SPRM.

Katanya bagi panel pula mereka akan terus mengadakan usaha menjalin kerjasama pelbagai pihak dalam menangani isu rasuah di negara ini.

“Saya tidak percaya rasuah di Malaysia berada dalam keadaan membimbangkan, memang kita ada masalah tetapi kita cuba menangani itu dengan pelbagai langkah sesuai oleh SPRM sendiri,” kata beliau.

PPPR merupakan salah satu panel bebas yang memantau perjalanan SPRM selain empat lagi badan bebas lain.

PPPR juga diwujudkan secara pentadbiran dan dianggotai oleh individu yang dilantik oleh Perdana Menteri mewakili pelbagai kumpulan masyarakat seperti ahli akademik, dewan perniagaan, pakar media, aktivis sosial dan pertubuhan yang diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat yang membenci rasuah di pelbagai sektor.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget