‘Henti spekulasi tujuh pemimpin UMNO’

JOHOR BAHRU – Semua pihak diminta menghentikan spekulasi tentang tujuh pemimpin UMNO yang disiasat berhubung kenyataan terbuka yang dibuat mereka dan memberi saranan agar menunggu tindakan atau pengumuman oleh pentadbiran parti.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, ahli parti juga diharap tidak mudah percaya dengan khabar angin tujuh nama tersebut dan menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan.

“Dari segi apa pun kalau belum dinamakan, hanya menjadi spekulasi sedangkan prosesnya (siasatan) melibatkan memberi surat tunjuk sebab, didengari (penjelasan) dan ditanya. Pada saya kita kurangkan spekulasi lagi baik, setakat ini belum ada apa-apa lagi.

“Apa pun tuduhan kalau tidak betul tidak akan ada tindakan. Siapa yang rasa dia terlebih atau terlanjur lebih-lebih lagi dalam soal disiplin dan nama parti tentunya faham sendiri, semak kelakuan kita yang lepas atau sedang berjalan,” katanya.

Shahrir berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Dermasiswa Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) yang disempurnakan isteri beliau, Puan Sri Shahrizan Abdullah.

Menurut Shahrir, desas-desus tujuh pemimpin UMNO itu turut membabitkan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merupakan spekulasi kerana ditokok tambah oleh pihak yang tidak mengetahui perkara sebenar.

“Saya tidak nampak apa yang boleh menyebabkan Menteri Besar Johor dilibatkan dalam tindakan ini kecuali awak sendiri (khabar angin) yang taruhkan nama dia. Perkara yang diuar-uarkan tanpa fakta adalah tidak wajar, itu lagi bahaya daripada usaha memperbetulkan dan menenteramkan keadaan.

“Pihak yang menuduh ahli dan pemimpin UMNO penakut nak bersuara hanya orang tertentu sahaja yang tidak ada keterbukaan. Proses (siasatan) ini tidak dijalankan secara pendengaran terbuka dan diamalkan sejak dulu bukan baharu,” katanya.

Tambahnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah dipecat semasa era Tunku Abdul Rahman sebagai Presiden UMNO sebelum beliau dibawa kembali masuk ke dalam UMNO.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Johor Bahru ini turut menolak dakwaan akan berlaku pemecatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu proses pengundian melibatkan ketua-ketua bahagian UMNO kerana beliau tidak tahu-menahu berhubung hal tersebut.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget