Mesra keperluan rakyat Sarawak, Sabah


Adenan sambut baik bajet yang bawa manfaat khasnya kepada luar bandar
KUALA LUMPUR: Bajet 2016 yang dilihat lebih mesra keperluan rakyat Sarawak dan Sabah disambut baik oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Beliau memberitahu peruntukan RM29 bilion dalam Bajet 2016 Sarawak dan Sabah memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negeri itu khususnya penduduk luar bandar supaya menikmati kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan prasarana jalan raya lebih baik.

“Saya menyambut baik Bajet 2016 diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi peruntukan besar kepada Sarawak dan Sabah.

“Peruntukan RM29 bilion bukan sedikit dan menerusi peruntukan ini, ia dapat merancak lagi pembangunan khususnya kawasan luar bandar Sarawak dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi ‘Townhall Kamek Bersama CM Adenan’ di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.

Adenan memberitahu meskipun terdapat suara sumbang mempersoal lebih peruntukan untuk Sarawak dan Sabah, beliau percaya ia keputusan tepat oleh Perdana Menteri.

Jelasnya, ia penting bagi memastikan kesinambungan usaha kerajaan dalam memajukan kawasan luar bandar di Sarawak dan Sabah yang masih banyak memerlukan perhatian sewajarnya dari kerajaan pusat.

“Kalau boleh peruntukan sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya dalam nada berjenaka kepada lebih 5,000 mahasiswa dari Sarawak yang datang ke program tersebut.

Dalam sesi itu, Adenan turut berkongsi pengalamannya sepanjang hampir dua tahun menjadi Ketua Menteri menyaksikan 45 dasar dan tindakan telah dilaksanakan di negeri ini.

“Semua dasar dan tindakan ini akan kita teruskan agar Sarawak dapat mencapai status negeri maju menjelang 2030 nanti,” ujarnya.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan barisan menteri muda kabinet negeri yang lain.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget