Adenan perlu lihat semula hubungan dengan kerajaan persekutuan selepas Bajet 2016


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem perlu melihat semula hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan selepas pengumuman Bajet 2016 baru-baru ini.

Menegaskan demikian, Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How berkata ini kerana kerajaan persekutuan yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak telah gagal menunaikan janji kepada rakyat Sarawak.

“Perdana Menteri telah banyak kali datang ke Sarawak dan memberi retorik politik ke atas apa sahaja tuntutan yang kerajaan negeri berikan kepadanya tetapi apabila sampai ke dalam bajet dan pelaksanaan polisi, ia berbeza sepenuhnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut See, Najib telah memungkiri janjinya kepada rakyat Sarawak sekali gus tidak memberi petanda baik kepada wawasan negeri yang ditetapkan oleh Adenan.

“Sama ada melibatkan autonomi dalam pendidikan, alam sekitar, pertanian, penjagaan kesihatan, penurunan kuasa dan keadilan untuk sumber minyak dan gas negeri, kita pasti tidak akan dapat mencapai semua ini,” katanya.

Dalam pada itu, See berkata peluang Adenan untuk kekal menjadi Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan tidak lama lagi turut diragui.

“Beliau (Adenan) akan menjadi Ketua Menteri selama lima tahun lagi tetapi apa yang berlaku sekarang adalah berapa banyak yang beliau dapat berikan dalam tempoh tersebut jika tidak mendapat sokongan dan restu daripada kerajaan persekutuan seperti apa yang kita lihat sekarang,” katanya.

Jelas beliau, Adenan tidak mempunyai masalah untuk meraih sokongan daripada seluruh rakyat Sarawak terutama melibatkan perkara seperti autonomi dalam pendidikan serta keadilan untuk minyak dan gas.

“Bagaimanapun, kesemua 25 Ahli Parlimen BN Sarawak gagal menjalankan tugas untuk mencerminkan apa yang Adenan mahu capai untuk Sarawak,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget