Kes Khairuddin, 
Matthias didengar 3 Nov.


PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan 3 November ini bagi mendengar tiga persoalan undang-undang berhubung pendakwaan terhadap bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang.

Mahkamah tertinggi negara akan menentukan sama ada pertuduhan yang dihadapi oleh kedua-duanya di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, boleh dibicarakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012 (SOSMA).

Tarikh itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Mohd. Izuddin Mohamad di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman di sini pada sesi pengurusan kes hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud yang hadir bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Yasser Mohd. Nasri ketika ditemui Utusan Malaysia selepas sesi tersebut memberitahu, kedua-dua pihak dikehendaki memfailkan penghujahan bertulis masing-ma­sing pada Isnin ini.

Peguam-peguam Zainur Zakaria dan Muhammad Rafique Rashid Ali hadir mewakili Khairuddin dan Matthias atau nama sebenarnya Chang Wen Chieh.

Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur merujuk kes melibatkan kedua-duanya ke mahkamah tertinggi negara bagi memastikan sama ada pertuduhan yang mereka hadapi boleh dibicarakan di bawah SOSMA.

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin menetapkan demikian selepas mendengar hujahan peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla dan Zainur yang mewakili Khairuddin dan Matthias serta Masri dan Mohamad Abazafree Mohd. Abbas yang mewakili pendakwa raya.

Mahkamah Tinggi mengemukakan tiga persoalan undang-undang iaitu sama ada pertuduhan mengikut Seksyen 124L tertakluk di bawah SOSMA sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

Jika persoalan itu dijawab secara positif, persoalan berikut yang perlu dijawab ialah adakah kedua-dua pemohon iaitu Khairuddin dan Matthias berhak dibebaskan dengan jaminan.

Sebaliknya, jika jawapan kepada persoalan pertama adalah negatif, mahkamah akan menentukan sama ada perbicaraan terhadap kedua-dua tertuduh dijalankan di Mahkamah Sesyen dengan mengambil kira peruntukan hukuman tertakluk di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

Pada 13 Oktober lalu, mereka memfailkan notis usul mengikut Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, di Mahkamah Tinggi memohon beberapa perintah antaranya pertuduhan mengikut Seksyen 124L tidak tergolong sebagai pertuduhan mengikut SOSMA dan sehubungan itu memohon mahkamah melepaskan mereka dengan jaminan berpatutan.

Khairuddin, 53, dan Matthias, 65, merupakan individu pertama didakwa mengikut Seksyen 124L dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.

Sehari sebelum itu, Khairuddin dan Matthias didakwa cuba mela­kukan perbuatan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di antara 26 Jun dan 26 Ogos lalu bertempat di lima lokasi berlainan di luar negara.

Lokasi-lokasi itu ialah di Pejabat Ketua Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Paris, Pe­rancis; Balai Polis Charing Cross, London; Pejabat Peguam Negara Switzerland, Bern; Balai Polis Waichan, Hong Kong; dan Ibu Pejabat Polis Cantoment, Singapura.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget