MIRI: PAS Sarawak berharap peruntukan dibentang dalam Bajet 2016 sampai kepada kumpulan sasar terutama bantuan melibatkan kebajikan rakyat.
Setiausaha PAS Sarawak, Muhtar Suhaili berkata kerajaan harus melaksanakan semua projek atau peruntukan yang diumum Perdana Menteri dan bukan sekadar janji manis.
“Kita berharap semua peruntukan dalam Bajet 2016 digunakan sepenuhnya melaksanakan semua bentuk kemudahan awam seterusnya sampai kepada kumpulan sasar,” katanya di sini semalam.
PAS juga katanya berharap agar Perdana Menteri mengumum peruntukan untuk membina sekolah agama di Sabah dan Sarawak.
“Nampaknya kebanyakan peruntukan yang diumum bersifat pembangunan fizikal, sedangkan Sabah dan Sarawak turut memerlu pembangunan rohani dan modal insan berteras Islam,” jelasnya.
Muhtar turut memberitahu peruntukan besar disalurkan kepada Sarawak menandakan bahawa pilihan raya negeri sudah semakin dekat.
“Kita bagaimanapun bersyukur kerana Sarawak menerima peruntukan besar dalam Bajet 2016 dan ia salah satu tanda bahawa Sarawak bakal berdepan pilihan raya pada masa terdekat,” jelasnya.
- Borneo Post Online
Post a Comment