PKR ramal ekonomi terus merosot selagi Najib memimpin


Bajet 2016 yang dibentangkan hari ini tidak menjawab persoalan kehilangan krisis keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata bajet kali ini tidak memberi gambaran sebenar kepimpinan Najib yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya menyebabkan keyakinan terhadap dirinya hilang.

"Soal utama dalam ekonomi adalah keyakinan terhadap kepimpinan dalam negara, kamu boleh keluar apa saja angka yang kamu mahu dan bentang dalam bajet ini mengikut kamu suka.

"Tapi tanpa kredibiliti kepimpinan ekonomi, ekonomi akan merudum dan sukar untuk sasaran yang diletak dapat dicapai," katanya yang ditemui pemberita di Parlimen sejurus selesai pembentangan Bajet 2016.
Rafizi berkata Najib juga seolah-olah mengakui sekiranya keadaan dan kemelut ini tidak diselesaikan segera, negara bakal berdepan krisis ekonomi tahun depan.

"Perdana menteri bermula dengan begitu defensif, beliau mengatakan ekonomi Malaysia tidak berada dalam krisis, menolak anggapan mengatakan kita berada dalam keadaan susah.

"Tapi sebaliknya saya anggap itu sebagai penerimaan, beliau tahu kita akan masuk ke dalam krisis jika perkara tidak diperbaiki," katanya.

Dengan kutipan hasil gas dan minyak diunjur akan berkurangan tahun depan, Rafizi juga bimbang kerajaan akan bergantung daripada cukai yang dikutip daripada rakyat.

"Saya bimbang semasa beliau (Najib) memberi ucapan yang menyentuh mengenai unjuran kutipan cukai tahun depan, saya bimbang kerana akan ada peralihan yang besar daripada segi pergantungan besar kepada cukai yang dikutip daripada rakyat," katanya.

Rafizi berkata terdapat RM20 bilion cukai yang akan dikutip daripada orang ramai, namun hanya akan menjelaskan lebih lanjut dalam laporan belanjawan Pakatan Harapan esok.

"Saya rasa RM20 bilion hasil pada tahun depan akan datang daripada cukai yang dikutip daripada orang ramai.

"Tapi itu tidak disebut perdana menteri, kami akan ulas dalam dua tiga hari akan datang," katanya. –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget