Kit Siang dakwa individu berkomplot jatuhkan Najib akan diburu, didakwa

KUALA LUMPUR  – Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendakwa sekumpulan individu akan disiasat dan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana berkomplot menjatuhkan kerajaan demokratik di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lim Kit Siang
Kit Siang membuat dakwaan itu melalui satu entri melalui laman blognya pada 23 Oktober lalu yang turut menyertakan senarai nama individu yang terlibat.

Beliau mendakwa, senarai itu yang merupakan antara manifestasi hendak dibawa ke Parlimen diperoleh melalui sebuah laman web pada hari sama Najib melucutkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dalam senarai itu, empat individu dari Bank Negara didakwa terlibat iaitu Gabenornya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Timbalan Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus; Pengarah Pentadbiran Pertukaran Asing, Shamsuddin Mohd. Mahayidin dan Pengarah Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, Abdul Rahman Abu Bakar.

Dua individu dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut didakwa terlibat iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Tan Kang Sai.

Individu-individu lain yang turut disenaraikan ialah Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Datuk Rashpal Singh dan Ketua Pasukan Petugas Khas Sekretariat, Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Jessica Gurmeet Kaur.

Pengerusi Eksekutif The Edge Communications Sdn. Bhd., Dr. Tong Kooi Ong; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Penerbit The Edge Communications Sdn. Bhd., Ho Kay Tat; pengasas dan pengendali The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua turut disenaraikan.

Kit Siang mendakwa, mereka yang disenaraikan itu akan diburu dan disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun oleh Ketua Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PRDM) iaitu Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Kit Siang pada Khamis lalu digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat ekoran keengganannya meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sehari sebelum digantung, Ahli Parlimen Gelang Patah itu didakwa menuduh Pandikar menggunakan kuasanya untuk menangguhkan Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sedangkan kuasa itu tidak dinyatakan dalam mana-mana Peraturan Mesyuarat

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget