Sokong calon India bertanding di Miri: Dr Chan


Pemilihan Karambir Singh antara calon SUPP pada PRN akan datang harus disokong penduduk Miri
MIRI: Pemilihan Presiden Persatuan India Miri Karambir Singh sebagai antara calon mewakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang harus mendapat sokongan penduduk Miri.

Bekas Presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan yakin potensi Karambir selepas melihat sumbangan beliau kepada parti dan penduduk Miri.

“Saya difahamkan Karambir antara calon pilihan raya akan datang. Ini menunjuk minat mendalam beliau dalam politik dan pembangunan Miri,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Hari Deepavali antara Persatuan India Miri malam kelmarin (Sabtu).

Dr Chan juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak memberitahu, Karambir bukan sahaja aktif dalam Persatuan India Miri tetapi aktiviti kemanusiaan dan sosial menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Karambir sekarang menyandang jawatan setiausaha SUPP Piasau dan pegawai publisiti PBSM Cabang Miri.

Selain Karambir, Dr Chan juga mahu penduduk Miri memberi sokongan penuh kepada calon SUPP Miri yang antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin dan Pengerusi SUPP Piasau Datuk Sebastian Ting.

“Saya telah lama mengenali ketiga-tiga mereka yang bekerjasama dengan saya membangunkan Miri. Saya memberi jaminan bahawa mereka adalah orang yang baik dan mempunyai kesanggupan untuk bekerja,” katanya.

Pada PRN yang dijangka diadakan tahun depan, SUPP mempertaruh tiga calon untuk tiga kerusi DUN di Miri iaitu Senadin, Piasau dan Pujut.

DUN Piasau sekarang dipimpin Alan Ling daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) sementara DUN Pujut oleh Fong Pau Teck (Bebas).

Sehubungan itu pengundi di sini diharap memberi kepercayaan kepada calon SUPP agar mereka memperoleh kemenangan dan menjadi sebahagian barisan kepimpinan di negeri ini.

Mengulas mengenai majlis itu, Dr Chan memuji usaha aktif masyarakat India di sini dalam mengumpul dana untuk menjayakan projek pembinaan bangunan persatuan mereka.

Beliau menderma RM10,000 untuk projek itu dan turut mencadangkan agar usaha mengumpul derma diperluaskan kepada seluruh masyarakat Miri.

Kehadiran tetamu pelbagai kaum pada majlis itu turut menandakan keakraban hubungan masyarakat India di sini dengan penduduk Miri.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget