Guna pendekatan inovatif tolak propaganda ekstremis di media sosial

Agensi kerajaan perlu menggunakan pendekatan inovatif untuk menyampaikan mesej kepada golongan sasaran dalam usaha menolak propaganda dan “perjuangan” puak ekstremis dalam media sosial kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata mereka yang bersuara bagi pihak kerajaan perlu dilengkapkan dengan kemahiran supaya hujah bagi menangani mesej dan naratif bukan sekadar retorik tetapi dilengkapi fakta dan asas pertimbangan kukuh.

“Ini termasuklah meningkatkan kredibiliti mereka yang terbabit di mata majoriti senyap, agar mereka terdorong untuk berkongsi naratif dan fakta yang disalurkan.

“Kita perlu memikirkan pendekatan yang inovatif untuk menyampaikan mesej kita kepada golongan sasaran tertentu. Ini memerlukan kemahiran dalam menganalisis kehendak golongan sasaran dan menyediakan mesej bersesuaian buat golongan itu,” katanya ketika merasmikan seminar 'Peranan Media Baharu Memerangi Persepsi Keganasan' di Cyberjaya, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SMKM) Datuk Seri Dr Halim Shafie dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Salleh berkata, usaha memperkasa golongan majoriti senyap penting bagi meningkatkan tahap literasi media dan digital agar rakyat khususnya golongan muda menolak propaganda puak ekstremis dalam media sosial.

Beliau berkata apabila pemimpin negara dilemparkan dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas, isu itu terus dimanipulasi dalam media sosial walaupun pencerahan demi pencerahan dibuat dan pelbagai bukti dikemukakan.

"Persepsi masyarakat amat sukar diubah kerana adanya asakan persepsi yang menular selain persepsi negatif terhadap kepimpinan negara dan kerajaan, yang dilihat tertanam dalam kalangan mereka khususnya pengguna media sosial.

“Saya selalu mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menilai dengan penuh berwaspada apa jua maklumat yang diterima dan disebarkan melalui pelbagai medium media sosial.

“Usahlah sebarkan maklumat yang kita sendiri tidak pasti kesahihan dan sumbernya. Jangan terlalu mudah terpengaruh dengan mainan dan manipulasi pihak tidak bertanggungjawab khususnya dalam perkara yang menggugat kestabilan, keselamatan dan keharmonian negara,” katanya.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget