SDNU janji bantu lima gelandangan muda


Cari keluarga angkat daripada masyarakat Dayak agar mereka mempunyai tempat tinggal sempurna
SIBU: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) dijangka berikhtiar membantu lima gelandangan muda, dua remaja dan tiga kanak-kanak lelaki bawah umur yang ditahan polis dua hari lepas kerana menceroboh stesen pencawang jana kuasa di Jalan Pulau dekat sini sebagai tempat berlindung.

Kelima-lima mereka yang dipercayai datang daripada keluarga bermasalah kini ditahan di lokap Balai Polis Sentral Sibu sementara menunggu tempoh reman empat hari tamat sebelum dibawa ke mahkamah di sini.

Ketua Unit SDNU Sibu Petrus Baba ketika dihubungi semalam berkata bantuan itu bagaimanapun bukan bermaksud campur tangan dalam urusan polis yang kini sedang menyiasat kes.

“Apa yang kami mahu ketika ini ialah meminta pihak polis memberi nasihat bagaimana lima remaja muda itu dapat dibantu.

“Kami berhasrat untuk mencari keluarga angkat terutama daripada kalangan masyarakat Dayak agar mereka berpeluang mempunyai tempat tinggal lebih sempurna dan tidak lagi merayau-rayau di jalanan,” jelasnya.

Tiga daripada kanak-kanak tersebut berumur 12, 11 dn 10 tahun telah dilaporkan bermalam di stesen pencawang elektrik di Jalan Pulau selama dua malam atau lebih sebelum ini.

Mereka mendakwa berasal dari Kanowit dan telah menyertai dua lagi remaja berusia 19 dan 23 tahun masing-masing dari Song dan Pakan yang telah tinggal lebih lama di kawasan berbahaya itu.

Polis telah menahan semua mereka kerana didapati menceroboh kawasan larangan tersebut dan akan disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

“Meskipun tanggungjawab kami di SDNU tertakluk kepada kepentingan ahli dan keluarga terdekat sahaja tetapi hasrat menghulurkan bantuan kerana didorong sifat perikemanusiaan, malah mereka sama bangsa dengan kami,” jelas Petrus.

Jika boleh, SDNU mahu pihak berkuasa mempertimbangkan agar mereka tidak dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan SDNU akan berusaha mencari waris terdekat walaupun mereka tidak mempunyai keluarga sendiri.

“Kami tahu mereka tidak mempunyai ibu bapa menyebabkan mereka terbiar tetapi kami percaya mereka mempunyai saudara-mara dan usaha sedang dilakukan untuk menghubungi waris terdekat,” tambahnya.

- Borneo Post Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget