Penan terjejas hidroelektrik diberi bantuan pendidikan

SEB, Amanah Kebajikan Bakun tandatangani MoU bantu masyarakat Penan di Belaga yang terjejas secara langsung

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Amanah Kebajikan Bakun telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memberi bantuan pendidikan selanjutnya kepada masyarakat Penan di daerah Belaga yang terjejas secara langsung oleh Loji Hidroelektrik (HEP) Murum.

MoU itu menjelaskan bagaimana dana pendidikan khas sebanyak RM200,000 itu yang disalurkan setiap tahun oleh SEB dan disimpan di bawah Amanah Kebajikan Bakun akan digunakan untuk memenuhi keperluan pendidikan khusus masyarakat Penan.

Inisiatif tersebut juga bagi mendorong golongan muda daripada masyarakat berkenaan berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Menurut Menteri Kemajuan Tanah selaku Pengerusi Amanah Kebajikan Bakun Tan Sri Datuk Amar James Masing, dana itu akan digunakan khusus untuk memberi bantuan pendidikan kepada masyarakat Penan di daerah Belaga termasuk tujuh buah kampung penempatan semula yang terjejas akibat HEP Murum.

“Bantuan ini adalah untuk penduduk di enam perkampungan Penan dan sebuah perkampungan Kenyah Badeng dari penempatan semula Murum dan 19 masyarakat Penan lain dari seluruh daerah Belaga.

“Kami mahu meletakkan mereka ke dalam abad 21 dan saya berharap masyarakat Penan yang sebelum ini hidup sebagai pemburu menyertai kita ke dalam abad 21 serta menjadi ahli masyarakat yang terpelajar,” kata pada Majlis Menandatangani MoU tersebut di Menara Sarawak Energy di sini, semalam.

Upacara menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Masing dan Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan merangkap ADUN Belaga Liwan Lagang bagi pihak Amanah Kebajikan Bakun manakala SEB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Torstein Dale Sjotveit dan Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat Jiwari Abdullah.

Manakala Torstein berkata pendidikan dan golongan muda merupakan salah satu teras utama dalam strategi tanggungjawab sosial korporat SEB.

“Kami menyedari tentang kepentingan pendidikan untuk memajukan pembangunan ekonomi dan sosial.

“Dalam matlamat kami untuk menyokong kerajaan mengembangkan ekonomi negeri dengan memacu Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), kami mahu memastikan masyarakat yang terjejas akibat projek-projek kami mendapat manfaat secara lestari,” katanya.

Torstein mewakili SEB dalam jawatankuasa yang ditubuhkan khas untuk mengurus dana berkenaan yang akan memberi fokus kepada cara untuk sentiasa meningkatkan kadar kehadiran dan pendaftaran pelajar, prestasi akademik, kaunseling, motivasi dan program ‘outreach’ bagi pelajar, guru dan ibu bapa.

Ahli jawatankuasa lain termasuk Liwan, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Pegawai Daerah Belaga Abdul Halim Abdullah dan Pegawai Pendidikan Belaga Henry Usat Bit.

Sementara, dana RM200,000 tersebut adalah untuk menjalankan program seperti anugerah insentif akademik bagi pelajar di sekolah rendah dan menengah.

Selain itu, ia juga sebagai bantuan kewangan untuk pelajar yang mengambil sijil atau diploma dalam latihan di institusi pengajian tinggi atau pusat kemahiran selain program diploma atau ijazah di institusi pengajian tinggi yang diluluskan di Malaysia.

Ia turut akan digunakan untuk sebarang program pembangunan pendidikan lain atau bagi menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran jika dianggap perlu seperti yang dipersetujui jawatankuasa.

Dana pendidikan khas itu merupakan pendekatan SEB dalam menyokong inisiatif pendidikan masyarakat yang terjejas di Murum dan ia termasuk kerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk membina dua sekolah rendah di penempatan semula Metalun dan Tegulang.

Ini telah membawa kepada peningkatan yang signifikan dalam kadar pendaftaran murid sekolah rendah daripada masyarakat tersebut sebanyak empat kali ganda berbanding sebelum penempatan semula disediakan.

SEB turut menyediakan bantuan seperti pengangkutan ke sekolah, pakaian seragam, kasut, beg sekolah, buku latihan, alat tulis dan peralatan sukan.

Syarikat tenaga itu juga telah mengurangkan jurang literasi di kalangan golongan dewasa Penan menerusi program literasi Penan Murum.

Program yang memenangi anugerah itu telah membolehkan kira-kira 400 orang dewasa belajar membaca, menulis dan mengira secara asas sebagai sebahagian daripada peralihan mereka ke dalam arus pembangunan aliran utama.

Program ini sudah mencapai peringkat ketiga yang merangkumi kemajuan peribadi, kebersihan, nutrisi dan kesihatan, kemahiran hidup asas seperti pengiraan mudah, ekonomi rumah tangga dan bengkel keibubapaan.

Selain sumbangan kepada Amanah Kebajikan Bakun, SEB menyediakan program biasiswa tahunan yang terbuka kepada semua rakyat Sarawak.

Program biasiswa ini bertujuan melengkapi usaha kerajaan negeri bagi memastikan tenaga kerja tempatan yang mencukupi untuk SCORE.

SEB juga aktif menyokong pelajar universiti dalam projek-projek penyelidikan dan pembangunan.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget