DAP masih dalam siasatan RoS, kata KDN



Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) masih menjalankan siasatan menyeluruh terhadap DAP kerana parti itu masih belum mengambil tindakan seperti yang dinasihati kepada mereka, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam jawapan bertulis Parlimen hari ini, Zahid berkata, RoS melakukan siasatan terhadap DAP susulan pemilihan semula parti yang dijalankan pada 29 September, 2013.
"RoS menerima surat daripada DAP yang memohon semakan kehakiman ke atas tindakan yang diambil jabatan itu pada 3 April, 2014.


"Pada 23 September, 2014 pihak DAP menarik balik niat saman terhadap RoS di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," kata Zahid menjawab soalan Anthony Loke (DAP-Seremban).

"Bagaimanapun, pihak RoS masih meneruskan siasatan terhadap DAP kerana pihak pengurusan parti tersebut masih belum mengambil tindakan seperti mana yang dinasihati RoS," kata Zahid, yang juga timbalan perdana menteri.

DAP terpaksa menjalankan pemilihan pada 29 September, 2013 berikutan arahan RoS.

Beberapa ahli yang tidak berpuas hati berkata pemilihan pada Disember 2012 tidak dijalankan dengan betul selepas parti itu mengumumkan kesilapan dalam pengiraan yang menyebabkan calon salah dipilih menganggotai jawatankuasa kerja pusat (CEC) parti.

Kesilapan itu diperbaiki tidak lama kemudian.

Pada pemilihan semulanya, perwakilan mengundi barisan kepimpinan yang sama untuk mengisi jawatan di dalam CEC.

Bagaimanapun, RoS enggan menerima keputusan pemilihan itu, sekali lagi mengatakan pihaknya menerima aduan mengenainya.

Apabila ditanya oleh DAP, ia tidak memberikan sebarang maklumat lanjut.

Pada Januari tahun lepas, DAP melalui setiausaha agungnya Lim Guan Eng memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan RoS menangguhkan pengiktirafan terhadap keputusan pemilihan semula itu.

Bagaimanapun, semakan kehakiman itu ditarik balik 9 bulan kemudian selepas Gobind Singh Deo yang mewakili parti itu memberitahu mahkamah, surat daripada RoS kepada Lim pada 6 Disember tahun lepas hanya semata-mata nasihat dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Dalam surat itu, RoS memaklumkan kepada Lim keputusannya dan menasihati CEC yang baru dipilih menahan diri daripada membuat sebarang keputusan bagi pihak parti sambil ia meneliti aduan yang diterima berhubung pemilihan semula pada September itu.

Parti itu berpendirian arahan RoS itu tidak mempunyai kuasa undang-undang.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget