Rakyat Sarawak anggap Bajet 2016 lebih inklusif


KUCHING: Usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pembentangan Bajet 2016 semalam mendapat reaksi positif dan menggembirakan pelbagai lapisan masyarakat negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentang belanjawan itu, mengumumkan inti pati belanjawan disifatkan inklusif serta menyeluruh kepada semua rakyat Malaysia.

Helson Tagau, 46 ketika ditemui semalam berkata, dia teruja dengan tawaran peruntukan yang banyak menyentuh ke arah pembangunan masyarakat luar bandar di negeri ini.

“Umum tahu, jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar di Sarawak menampakkan perbezaan amat ketara tetapi dari semasa ke semasa, jurang itu semakin berkurangan atas usaha keras kerajaan.

“Justeru, saya menyambut baik pengumuman belanjawan ini. Saya anggap ia masih tidak meminggir masyarakat luar bandar kerana mengutama kemudahan luar bandar.

“Ia seharusnya menjadi prioriti supaya masyarakat di sana mengecapi kemajuan setaraf dengan masyarakat di bandar,” katanya.

Jelasnya lagi, pembangunan luar bandar itu semestinya merangkumi seluruh aspek termasuk pendidikan, kesihatan, kemudahan awam, perumahan dan banyak lagi.

Sementara itu, Bibi Shahinaz Rezeni, 24 pula berkata, dia amat tertarik dengan pengumuman penambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM50 bagi semua kategori penerima di mana ia diyakini mampu meringankan beban rakyat dalam menghadapi peningkatan harga komoditi masa kini.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan terhadap rakyat khususnya mereka berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Malah saya amat gembira dengan penambahan BR1M ini kerana ia dapat meringankan beban ditanggung rakyat.

“Lebih-lebih lagi peningkatan pada kadar harga barangan keperluan pada masa kini,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan memberi lebih banyak inisiatif dalam membantu rakyat khususnya golongan memerlukan agar tidak tertindas peningkatan kos hidup pada masa kini.

Salah seorang penjawat awam hanya mahu dikenali sebagai Hasrul, 32 memberitahu, sama seperti tahun sebelum ini, pembentangan Bajet 2016 disifatkan sebagai menyeluruh dan merangkumi semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Bajet 2016, apa yang saya dapat simpulkan ia bersifat menyeluruh kerana semua rakyat tanpa mengira latar belakang bakal menikmati peruntukan daripada kerajaan.

“Ia sudah memadai memandangkan apa yang penting bagi rakyat bukanlah kemewahan, tetapi kesenangan dan kemudahan bagi melancarkan kelangsungan hidup yang diteruskan dari sehari ke sehari.” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget