Dr Annuar mahu rakyat menilai sendiri perkhidmatannya


SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee mahu rakyat di kawasannya menilai sendiri perkhidmatannya selama lebih empat tahun menjadi wakil rakyat mereka.

Katanya rakyat berhak menilai sama ada mahu memberi mandat kepadanya atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya ikhlas dan jujur berkhidmat kepada anda semua selama ini. Saya gunakan politik untuk kepentingan rakyat dan tidak meminta publisiti selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan penutupan Seminar Pemerkasaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) 2015 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Sibu di sini, petang kelmarin.

Jelasnya, beliau juga tidak pernah memarahi sesiapa selama ini dan apa yang penting beliau bekerja dengan sebaiknya.

Turut hadir Penolong Pengarah KEMAS Negeri Sarawak Langi Liban, Pegawai KEMAS Daerah Sibu Leena Taro, Temenggung Stanley Gramong, Pemanca James Semilan dan para tetamu jemputan yang lain.

Seramai 204 hadirin terdiri daripada ahli JKKK di kawasan tengah menyertai seminar yang diadakan selama sehari itu.

Antara objektif seminat ialah supaya pentadbiran dan pengurusan pembangunan masyarakat di peringkat kampung dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan teratur selaras dengan kehendak kerajaan.

Selain itu, aktiviti-aktiviti pembangunan masyarakat dapat diselaraskan dan digerakkan dengan lebih baik dan tepat pada sasaran di peringkat kampung.

Sementara itu, Dr Annuar membidas sikap pihak pembangkang yang suka mencari publisiti dalam setiap pergerakan mereka membantu rakyat khususnya di kawasan Nangka.

“Kalau kamu hendak tolong, tolonglah dan jika kamu hendak menderma, dermalah. Tetapi jangan sampai marahkan orang lain kerana dituduh tidak bekerja untuk rakyat.

“Mereka (pembangkang) mana tahu apa yang saya telah buat. Individu terbabit hanya muncul semasa musim PRN ini. Belum sampai musim PRN ini batang hidung pun tak nampak.

“Sekarang individu terbabit muncul bagi meraih simpati bukan atas dasar ikhlas atau jujur berkhidmat dengan rakyat,” tegasnya.

Sementara itu, beliau memuji usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang telah banyak mengubah negeri ini demi keutamaan kepada rakyat.

Beliau juga mahu rakyat memberi mandat sepenuhnya kepada Adenan pada PRN akan datang dengan memberikannya lima tahun lagi untuk mentadbir negeri ini.

“Jika beliau diberi mandat, kita di negeri ini akan dapat mengecapi lebih banyak lagi keistimewaan-keistimewaan akan datang kerana Adenan merupakan seorang pemimpin yang lantang bersuara sekali gus disegani oleh ramai orang termasuk rakyat di Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Pada PRN akan datang, beliau menyeru rakyat tahu membezakan usaha kerajaan dalam membangunkan rakyat.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget