Tiada salah guna kuasa Seksyen 124 Kanun Keseksaan- Zahid


KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa terhadap pelaksanaan Seksyen 124B hingga 124N Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan dengan menggugat demokrasi berparlimen, sabotaj dan espionaj .

Jaminan itu diberi oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut berjanji bahawa tertuduh yang dituduh di bawah seksyen ini akan mendapat pembelaan serta haknya juga akan terjamin seperti yang termaktub dalam undang-undang.

“Dalam apa cara sekalipun, tiada sebarang penyalahgunaan kuasa akan berlaku dan pembelaan serta hak kepada tertuduh adalah terjamin,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ujar Timbalan Perdana Menteri itu lagi, pindaan dalam Kanun Keseksaan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang itu dengan tepat.

Tambah beliau lagi, bilangan mereka yang disiasat di bawah Seksyen 124B hingga 124N Kanun Keseksaan adalah seramai tujuh orang dan melibatkan 10 kes, manakala dua orang sahaja yang dituduh.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut memandangkan kes-kes itu masih lagi dalam siasatan polis dan terdapat kes yang sedang dalam prosiding mahkamah.

Zahid berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, yang meminta senarai penuh nama individu yang sedang disiasat dan didakwa di bawah seksyen tersebut serta tindakan yang diambil bagi memastikan tiada salah guna kuasa dilakukan atas agenda lain.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO Bahagian Batuk Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) disiasat di bawah Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan.

Mereka didakwa cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan sistem kewangan negara dan boleh dihukum sehingga 15 tahun penjara jika sabit kesalahan.-Free Malaysia Today

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget