#Bajet2016: Perlu penambahan untuk Sarawak


Bajet 2016 baik, namun beberapa perkara masih perlu diperjuangkan


KUCHING: Meskipun menyifatkan Bajet 2016 amat baik namun masih ada beberapa perkara perlu diperjuang kepada Sarawak termasuk pembangunan perhubungan khasnya pembinaan lebuh raya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, dari segi pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo yang menelan kos RM16 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Apa membimbangkan sama ada ia dapat dilaksana mengikut jadual dan menamatkan projek pada 2021 kerana perkara paling penting ialah batu kuari dan keduanya, bitumen yang dikuasai Petronas dan Shell.

“Salah satu perkara lagi adalah memastikan kartel tidak ada antara pemilik kuari. Jika ia berlaku, ini menyebabkan Pan Borneo tertangguh atau dilengahkan dan akhirnya tidak dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Malahan kata Manyin, beliau mengadakan mesyuarat dengan Persatuan Kuari baru-baru ini mendapati bahawa Sarawak memerlukan 30 juta tan batu kuari dan selain mungkin kekurangan jentera atau mesin, bahan lain, buruh atau tenaga kerja semakin kurang.

Selain itu beliau memberitahu telah memohon menambahkan lima lagi jejambat di Kuching dan ia tidak disenarai9 dalam bajet yang dibentangkan.

Katanya begitu juga peruntukan RM1 bilion untuk 700 kilometer jalan luar bandar yang tidak dinyatakan secara khusus sebaliknya Sarawak masih memerlukan 5,000 kilomter jalan luar bandar yang memerlukan kos RM15 bilion hingga RM18 bilion.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senator Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, bajet dibentangkan itu adalah amat baik namun masih ada beberapa pembangunan harus diperjuangkan dalam cadangan bajet.

Menurut beliau antaranya dari segi pembinaan sekolah rendah dan menengah baharu, rumah mampu milik serta hospital dan klinik yang lebih amat diperlukan di negeri ini.

Tidak dinafikan kata beliau, dalam bajet berkenaan Sarawak mempunyai jumlah peruntukan jalan luar bandar munasabah, bekalan air dan elektrik, Lebuh Raya Pan Borneo bebas tol serta pinjaman membuat rumah panjang tanpa faedah selain 1Harga 1 Sarawak.

“Namun kita juga harus memperjuangkan mengenai pengangkutan bandar seperti 1Bilion Bas Transit Kota Raya Kota Kinabalu untuk bandar raya Kuching.

“Kita perlu meneliti maklumat dan berjuang juga untuk sekolah menengah dan rendah baharu, rumah mampu milik, hospital dan klinik yang dicadangkan dalam bajet.

“Memandangkan Sarawak amat serius memerlukan ia untuk setanding agar kita sama menikmati kemudahan ada di negeri lain di Semenanjung,” katanya melalui aplikasi WhatsApp di sini, semalam.

Beliau berkata bajet dibentangkan itu amat mencabar dalam konteks kejatuhan harga minyak pada peringkat antarabangsa.

“Kita gembira kerana Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan terus dikemas kini dengan lebih banyak jenis ubat dan makanan yang tidak dikenakan GST.

“Selain itu peningkatan cukai pendapatan lebih saksama bagi pencen, gaji penjawat awam dan gaji minimum kerana kos sara hidup merupakan kebimbangan paling utama,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget