Penerima gembira peningkatan jumlah BR1M

Ia membantu meringankan beban rakyat khasnya dengan kos sara hidup yang semakin meningkat


KUCHING: Kenaikan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun hadapan sudah pastinya menjadi berita gembira kepada penerima kerana berasa ia sesuai dengan kos sara hidup semakin meningkat.

Bagi penerima, ia membantu meringankan beban khasnya barangan keperluan malah mampu menampung gaji hujung bulan.

Namun dengan keadaan ekonomi tidak menentu, BR1M dilihat wajar diteruskan pada masa akan datang khasnya apabila harga barangan sentiasa menaik.

Bagi Alisa Junaidi, 21 tahun, bantuan itu wajar ditingkat kerana kos sara hidup tinggi pastinya memerlu rakyat mengeluar perbelanjaan besar.

Katanya ia pasti memberi kesan terutama golongan berpendapatan rendah membeli keperluan harian.

“Bukan itu sahaja, ekonomi tidak menentu, harga petrol turun naik, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta banyak barangan naik harganya pasti memberi impak kepada rakyat.

“Apabila adanya BR1M ia pasti memberi sedikit kelegaan kepada kami. Sekurang-kurangnya membantu meringan sedikit beban,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini, semalam.

Alisa berharap kerajaan akan meneruskan bantuan bukan sahaja kepada isi rumah tetapi penerima bujang sepertinya yang memerlukan bantuan.

“Ia pastinya sebagai pelengkap kepada gaji yang kita terima dalam membeli barangan keperluan harian.

“Malah kadar bantuan diberi berpatutan dan harap dapat diteruskan pada masa akan datang terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya sambil berharap bantuan diterus pada masa akan datang.

Sama seperti Alisa, Nur Ameera Dianol,21 tahun ketika ditemui berkata, BR1M diberi akan membantu meringa beban mereka yang amat memerlukan.

Katanya sebagai seorang pekerja swasta, baginya bantuan RM400 untuk individu bujang amat mencukupi bagi menambah kos perbelanjaannya.

Ameera juga penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kategori bujang itu turut berterima kasih kepada kerajaan kerana menerus bantuan berkenaan sehingga tahun hadapan.

“Ini satu lagi bantuan kita rasakan membantu dari segi membeli keperluan harian selain mungkin ada digunakan membayar ansuran bulanan kereta dan sebagainya, terutama yang masih bujang,” katanya.

Tinjauan di Sibu turut menyaksikan rata-rata penerima menyambut baik penambahan jumlah BR1M.

Bagi Catherine Ambi, ia adalah satu langkah bijak kerajaan memahami bebanan dihadapi rakyat.

“Kos sara hidup sangat tinggi lebih-lebih lagi dengan bebanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta keadaan harga petrol yang tidak menentu,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, beliau menyambut baik pemberian itu sambil melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada kerajaan.

Meskipun BR1M dibayar secara berperingkat, ia adalah langkah sangat baik kerana kerajaan bijak membantu menguruskan kewangan rakyat.

“Kalau diberi sekali gus mungkin ada segelintir cenderung membazirkannya atau menyalahgunakan tujuan BR1M.

“Jika dibayar berperingkat ia selamat dan boleh membantu kita menguruskan BR1M. Peratusan wang itu disalahgunakan adalah rendah dan secara tidak langsung cara ini banyak membantu,” jelasnya.

Ervina Tommy turut menyambut baik pemberian BR1M dengan menyifatkannya pemberian penuh bermakna kepada rakyat.

Katanya, pemberian itu dinaikkan pasti memberi impak kepada rakyat.

“Meskipun dibayar berperingkat-peringkat sebenarnya banyak membantu perbelanjaan seharian kita. Impaknya pasti terasa bagi penduduk luar bandar dan rumah-rumah panjang,” jelasnya.

Beliau berpendapat, secara keseluruhannya bajet kali ini menjurus kepada keperluan rakyat dan banyak peruntukan pembangunan diberikan kepada negeri ini.

“Sebagai rakyat di negeri ini, saya berterima kasih dan bersyukur dengan bajet kali ini. Sudah pasti rakyat di negeri ini dapat menikmati banyak pembangunan,” tambahnya.

Berkenaan dengan GST, beliau berpendapat, ia tidak dapat dielakkan dan tujuannya memberi pendapatan kepada negara.

Beliau berharap Bajet 2016 dapat memberi manfaat kepada semua rakyat di negara ini khususnya penduduk luar bandar.

“Dalam menghadapi kos sara hidup tinggi, bersama-samalah kita bersabar dan berfikiran positif serta teruskan kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara ini,” ujarnya.

Dalam Bajet 2016 di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 akan ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800.

Najib juga Menteri Kewangan berkata, bagi individu bujang yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400.

Beliau berkata, satu kategori baharu akan diperkenalkan bagi semua penerima di dalam senarai e-Kasih berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 akan menerima BR1M sebanyak RM1,050 manakala bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian RM1,000 akan diteruskan.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget