Nazri Yakin Zahid Hamidi Boleh Kalahkan Muhyiddin


KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan sokongan kepada bekas timbalan perdana menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kekal sebagai timbalan presiden UMNO sehingga pemilihan akan datang yang dijangka diadakan pada Disember ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu menyatakan tindakan itu penting untuk membolehkan beliau mengarahkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melawan bekas TPM itu, selain yakin Ahli Parlimen Bagan Datoh mampu mengalahkan Muhyiddin.

"Biar dia teruskan sehingga tempoh berakhir. Kemudian, saya akan suruh Zahid lawan dia. Saya yakin Muhyiddin akan kalah," jelas Nazri dipetik portal Malaysiakini.

Tambah Ahli Parlimen Padang Rengas itu lagi, ahli UMNO perlu diberi ruang untuk menyatakan perbezaan pendapat, selain perlu menerima kritikan.

"Sebagai parti yang akan menyambut ulangtahun ke 70 tahun tahun depan, kita harus mempunyai ruang cukup untuk perbezaan pendapat dan menerima kritikan," kata Nazri.

Sementara itu, portal Malaysian Insider yang memetik sumber hari ini mendedahkan bahawa UMNO bakal menggantung Muhyiddin sebelum perhimpunan agung pada Disember ini berikutan serangan berterusan yang dilakukan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi presiden parti UMNO itu.

Malah, sebelum ini Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos juga mengesahkan bahawa wujud gerakan untuk menyingkirkan Muhyiddin.

Jamal mendakwa lebih 100 ketua bahagian UMNO seluruh negara mengadakan perbincangan tertutup sebagai usaha menyingkir Muhyiddin dan kumpulannya dari parti itu.

-Malaysian Digest

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget