RM13 juta projek dilulus untuk Bawang Assan tahun ini, kata Wong


SIBU: Projek berjumlah RM13 juta diluluskan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata ini melibatkan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan jumlah RM5 juta, Projek Jalan Raya Negeri/Jalan Kampung (JRN/JKPG) (RM6.5 juta) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) (RM1.5 juta).

“Projek-projek ini ada yang telah siap dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita mengenai projek bagi DUN Bawang Assan, petang semalam.

Bagi RTP melibatkan 15 projek, PIAS (34 projek) dan JRN/JKPG (19 projek). Projek-projek ini melibatkan kerja-kerja membina baru serta menaik taraf jalan, membaik pulih jeti dan titian kayu, membina tempat parkir, menaik taraf gelanggang sepak takraw, menyediakan pontun dan sebagainya.

Menteri Kewangan Kedua itu memberitahu, sebanyak 16 projek di bawah MARRIS juga dicadangkan untuk tahun 2016 dengan kos RM7.8 juta.

Katanya, projek menaik taraf Jalan Penasu-Batu Burak dengan kos RM18 juta merupakan projek terbesar di DUN Bawang Assan untuk tahun ini.

“Kerja-kerja bagi projek ini telah mula dan dijangka siap dalam masa dua tahun,” ujarnya sambil menambah majlis pelancaran projek dilaksanakan dalam masa terdekat.

Projek menaik taraf jalan sepanjang 8.28 kilometer ini bakal memberi manfaat kepada 12 rumah panjang di Tanjung Penasu dan Batu Burak.

Mengenai projek menyambung bekalan air dari Rassau ke Sungai Pinang, Wong memberitahu projek terbabit tertangguh disebabkan bantahan segelintir pemilik tanah.

“Peruntukan RM6 juta diluluskan untuk projek ini dan disebabkan bantahan pemilik tanah tidak dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) itu berkata, projek ini sekiranya dilaksanakan memberi manfaat kepada 15 buah rumah panjang, sebuah kampung iaitu Kampung Bungan Besar serta sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Pinang.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Banggit dan Pau Kiew Chuan, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu, Tiong King Wei serta yang lain.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget