Denyut nadi rakyat di semua peringkat diberi perhatian :Fadillah


KUCHING: Bajet 2016 yang bertemakan ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat’ bersifat menyeluruh, inklusif dan mengambil kira denyut nadi rakyat di semua peringkat, dengan keperluan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana terus diberi perhatian utama oleh kerajaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan juga terus memberi keutamaan kepada keperluan dan kesejahteraan rakyat di Sabah dan Sarawak, dengan peruntukan RM16.1 bilion untuk Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak sepanjang 1,091 kilometer yang dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

Manakala, LPB Sabah pula akan mula dibina pada 2016 menerima peruntukan RM12.8 bilion meliputi 706 kilometer.

Dua lebuh raya itu bebas tol.

“LPB diyakini akan menjadi pemangkin dan pelengkap kepada perancangan kerajaan dalam mengubah landskap pembangunan negeri-negeri tersebut.

“Ia akan menyokong perancangan koridor-koridor pembangunan seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di Sabah.

“Selain itu, ia akan menyokong perancangan negeri-negeri tersebut sama ada pembangunan ekonomi mahupun sosial,” katanya menerusi kenyataan akhbar.

Menurutnya, Kementerian Kerja Raya bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana memperuntukkan RM5.776 bilion kepada kementerian menerusi bajet itu.

Keutamaan kementerian adalah untuk meningkatkan jaringan jalan yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna, dengan tumpuan kepada pembaikan cerun, mengurangkan kawasan ‘black spot’ dan pembinaan jambatan untuk meningkatkan akses antara kawasan.

Daripada RM5.776 bilion, sebanyak RM2.703 bilion akan diperuntukkan untuk pelbagai projek pembinaan jalan, jambatan, naik taraf jalan dan pembaikan cerun.

“Peruntukan RM1.4 bilion bagi membina serta menaik taraf jalan luar bandar sepanjang 700 kilometer di seluruh negara dan RM200 juta bagi menaik taraf jalan di kawasan penempatan FELDA membuktikan betapa rakyat luar bandar tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget