PAS tetap persoal ‘derma’ Najib walau tak semua angkat sepanduk


PAS konsisten mempersoalkan isu derma RM2.6 bilion dalam akaun Datuk Seri Najib Razak walaupun tidak semua ahli Parlimennya memegang sepanduk "Mana RM2.6 bilion?" selepas pembentangan Bajet 2016 semalam, kata Naib Presidennya Idris Ahmad.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata demikian sewaktu diminta mengulas tindakan sebahagian besar ahli Parlimen pembangkang yang memegang sepanduk itu semalam, tetapi menyaksikan hanya 2 daripada 14 wakil rakyat PAS berbuat demikian.

"Takkanlah kami bodoh sampai kami sokong (isu derma) RM2.6 bilion," katanya kepada The Malaysian Insider merujuk wang yang dikatakan sumbangan daripada penderma Timur Tengah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Ditanya sama ada beliau mengangkat sepanduk itu atau tidak di Dewan Rakyat semalam, Idris berkata: "Tak ada plakard-plakardlah. (Kenyataannya isu) RM2.6 bilion (ini) kita dah lawan dah dalam surat khabar."
PAS dalam kenyataannya sebelum ini pernah menggesa perdana menteri mendedahkan identiti sebenar penderma itu bagi memudahkan urusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga pusat zakat membuat kunjungan mereka.

Mereka juga turut mempersoalkan kenapa Najib sedari awal tidak mengakui kewujudan wang sejumlah itu dalam akaunnya setelah perkara itu pertama kali didedahkan The Wall Street Journal pada awal Julai.

Ditanya mengenai tindakan ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff yang mengangkat sepanduk dan seolah-olah tidak sependirian dengan wakil PAS lain, Idris berkata ia bukan satu masalah.

"Kita pun tiada larang apa-apa pun, kalau kita larang pastinya kita ambil tindakan. (Ahli Parlimen) PAS ada yang pegang dah.

"Tak ada apa-apa (isu jika pegang sepanduk atau tidak). Wakil PAS pun ada yang buat, tak ada masalah," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, mereka yang tidak mengangkat sepanduk itu "mungkin ada urusan masing-masing".

"Tetapi, kita menentang (isu derma RM2.6 bilion), awak tengok kenyataan kami, awal-awal lagi sudah ada," katanya.

RM2.6 bilion merupakan jumlah yang diisytiharkan sebagai derma oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang didepositkan ke akaun Najib sekitar Mac 2013 menjelang pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun sama.

Mahfuz yang mengangkat sepanduk itu dalam Dewan Rakyat semalam, turut membawanya ketika di lobi Parlimen bersama wakil rakyat Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar, bekas ahli Parlimen PAS yang kini menyertai PKR.

Ahli Parlimen PAS yang berada dalam Dewan ketika itu, tetapi tidak mengangkat sepanduk ialah setiausaha agung Datuk Takiyudin Hassan (Kota Baru), ketua penerangan Nasarudin Hassan (Temerloh) dan ketua Pemuda Nik Mohd Abduh Nik Aziz (Pasir Mas).

Bekas ketua pengarang akhbar milik Umno The New Straits Times Datuk A. Kadir Jasin dalam tulisan di blognya hari ini menyatakan PAS tidak bertanya mengenai perkara itu mungkin kerana mereka tahu butiran derma itu.

"PAS tak tanya. Boleh jadi para ulama PAS tahu Arab mana yang bagi 'sedekah' itu dan di mana duit itu atau bakinya disimpan," tulis wartawan veteran itu. –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget