DAP rasa terancam dengan populariti Adenan

Abdullah: Serangan berterusan terhadap Adenan bukti kebimbangan dan ketakutan DAP

KUCHING: Pasti ramai warga Sarawak terkejut dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling daripada DAP yang mendakwa Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem tidak berbuat apa-apa cuma slogan kosong.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol yang berkata demikian menambah, persepsi itu menggambarkan sikap pemimpin DAP Sarawak yang sering bermain dengan politik dan gagal menyelesaikan masalah rakyat.

Menurutnya, inisiatif Projek Impian Sarawak adalah sekadar bermotifkan politik dan memancing undi.

“Dalam tempoh setahun lapan bulan, KM Adenan telah melaksanakan tidak kurang 45 inisiatif dan tindakan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Ia merangkumi peruntukan projek luar bandar, perang terhadap pembalakan haram, pembasmian tol, menurunkan tarif elektrik, memperkukuhkan integriti dalam perkhidmatan awam, menghentikan pemberian lesen balak, geran kepada sekolah Cina, autonomi dan pengagihan kuasa, Lebuh Raya Pan Borneo, pengiktirafan kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan banyak lagi.

“DAP Sarawak sebenarnya mengalami simptom-simptom alahan serius ekoran peningkatan populariti Adenan,” ujarnya.

Pemimpin DAP dipilih oleh majoriti komuniti Cina kerana mereka berjaya memberi persepsi palsu bahawa mereka berupaya melindungi kepentingan masyarakat Cina.

Tetapi akhirnya, ramai masyarakat Cina mula menilai semula sokongan diberikan kepada DAP.

“Masyarakat Cina di Sarawak sedar BN akan pasti menang dan mampu bertahan lebih lama tanpa perwakilan mencukupi dalam kerajaan sekarang.

“Mereka juga percaya sokongan berterusan terhadap DAP akan menyebabkan kerisauan hubungan kaum, ketidakselesaan dan ketidaksamaan masyarakat Cina dengan kaum-kaum lain di Sarawak,” jelasnya.

Malah, situasi demikian tidak sihat kepada perniagaan mereka.

Katanya lagi, bukan satu kejutan apabila DAP terus merendahkan usaha Adenan kerana mereka maklum bahawa Adenan mengotakan kata dan berupaya melaksanakan sesuatu.

“Warga Sarawak kini lebih sedar tentang budaya politik keji DAP yang sentiasa menyokong perhimpunan jalanan, permusuhan dan penipuan.

“Amat jelas DAP perlu berlaku demikian kerana dalang mereka di Semenanjung Malaysia juga serupa,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget