Bajet 2016 tidak dapat bantu tingkat prestasi ekonomi: Ting




SIBU: Bajet 2016 tidak dapat membantu negara dalam meningkatkan prestasi ekonomi Malaysia, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Ting Tze Fui.

Katanya, walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) membawa pendapatan sejumlah RM39 bilion kepada kerajaan tetapi rakyat menghadapi beban dan tekanan berat akibat GST.

Tambahan pula, barang-barang dimasukkan dalam kadar sifar GST dalam bajet ini seperti mi kolok tidak dapat mengurangkan beban rakyat.

“Secara keseluruhannya, bajet ini tidak membawa banyak manfaat kepada Sarawak. Jabatan Perdana Menteri diberi peruntukan terbanyak tetapi tiada satu badan dapat menyelia perbelanjaan jabatan.

“Bila kekurangan wang minta daripada rakyat dengan memperkenal GST,” katanya di sini semalam.

Mengenai Pan Borneo Sarawak Tol Bebas seperti diperkatakan Timbalan Perdana Menteri, ini adalah untuk menarik hati rakyat memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Pan Borneo disebut-sebut sejak lama dahulu, tiap-tiap kali pembentangan bajet ada termasuk peruntukan untuk Pan Borneo tetapi sampai kini rakyat Sarawak masih menunggu-nunggu,” ujarnya.

Katanya, Perdana Menteri pernah mengatakan dengan adanya GST kerajaan dapat bagi BR1M lebih banyak dan lebih banyak pembangunan.

“Tetapi dalam Bajet 2016, perbelanjaan untuk pembangunan cuma RM52 bilion dan pembelanjaan pentadbiran sebanyak RM215.22 bilion.

“Belanja pentadbiran adalah lebih kurang empat kali ganda lebih daripada belanja untuk pembangunan,” tambahnya.

Mengenai peningkatan BR1M, katanya, ia masih tidak mampu meningkatkan taraf hidup rakyat kerana dibebani GST.

“BR1M tidak dapat menyelesaikan masalah ekonomi bagi keluarga atau individu miskin memandangkan kenaikan harga barangan akibat GST sebenarnya banyak melebihi BR1M yang diberi,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget