DAP Sarawak kecewa dengan seruan ‘balik Malaya’ S4S


Apakah pergerakan Sarawak For Sarawakians (S4S) telah melampaui batas melalui tindakannya menyeru parti-parti politik Semenanjung Malaysia untuk kembali ke Semenanjung? 

Melainkan seseorang itu tidak mengiktiraf Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia, saya berfikir tindakan menuntut parti-parti politik yang berpangkalan dari Semenanjung untuk keluar dari Sarawak adalah tidak wajar.

Seorang pemimpin S4S melakukan permintaan ini di hadapan sejumlah 500-600 penyokong semasa perhimpunannya di Dataran Bandar Sibu pada 19 Julai.

Pemimpin ini memberi alasan bahawa Sarawak tidak memerlukan mana-mana parti Malaya kerana parti tempatan memahami "negara" ini dengan lebih baik, dan dengan itu berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memerintah "negara" dengan lebih berkesan.

Tidak jelas jika ini adalah pandangan peribadinya atau dia mewakili pergerakan S4S. Dilaporkan bahawa perhimpunan-perhimpunan yang sama pada hari yang sama di tempat-tempat lain di Sarawak seperti Miri dan Bintulu tidak menyatakan permintaan yang sama.

Seruan ini pastinya menggusarkan pemimpin-pemimpin DAP Sarawak, yang sebahagian daripada mereka telah segera bertindak balas dengan menuduh S4S telah membuat kenyataan yang mengelirukan dan nakal. Ada juga yang pergi ke tahap mendakwa S4S telah dimasuki oleh parti-parti Barisan Nasional (BN) tertentu, sebagai platform untuk mendapatkan modal politik.

Selepas mendapat kejayaan di Sarawak dalam tahun-tahun kebelakangan ini dengan memenangi lima kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri, DAP pasti akan merasa tersinggung dan tidak selamat dengan seruan supaya ia menutup kedai.

Dan DAP percaya bahawa dengan ketidaktentuan politik dan ekonomi yang sedang berlaku di Sarawak dan Semenanjung, parti itu akan menikmati kejayaan yang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Oscar Ling
Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling yang juga pengerusi DAP Sibu dan pengarah Biro Politik DAP Sarawak menyatakan yang beliau amat kecewa kerana S4S telah menggunakan perhimpunan aman yang dianjurkan untuk memperingati Hari Kemerdekaan Sarawak, untuk mencari pasal dengan DAP secara terbuka.

Ling berkata sebagai pergerakan sivil dan tidak terlibat dalam politik, S4S tidak seharusnya terpesong daripada objektif utamanya, untuk meningkatkan kesedaran di kalangan warga Sarawak supaya mereka mendapat lebih maklumat tentang hak-hak perlembagaan mereka dan juga sejarah Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa kehadiran sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) pada perhimpunan S4S itu turut menimbulkan keraguan mengenai sifat neutralnya.

"Saya kini akan menarik sokongan saya terhadap S4S setelah mengetahui bahawa ramai ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) telah menghadiri perhimpunan itu," Ling berkata, sambil menambah bahawa SUPP telah jelas menggunakan peluang ini dan platform S4S untuk mendapatkan manfaat politik.

Walau bagaimanapun, pemimpin SUPP serta-merta menafikan dakwaan itu dengan berkata kira-kira 60 orang ahli telah menghadiri perhimpunan itu sebagai individu dan atas inisiatif sendiri.

Ling menegaskan bahawa rasa tidak puas hati di kalangan warga Sarawak adalah sebahagian besarnya hasil daripada pengabaian dan dasar-dasar yang tidak adil kerajaan persekutuan selama 52 tahun, selepas Sarawak membantu membentuk Malaysia.

Ling menegaskan bahawa DAP adalah sebuah parti untuk semua dan DAP Sarawak, yang kesemua pemimpinnya merupakan warga Sarawak, mempunyai autonomi dan kuasa sendiri untuk membuat keputusan dan melaksanakan keputusan dan dasar-dasar yang dirangka demi manfaat warga Sarawak.

Naib pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelawan, David Wong turut melahirkan rasa marah kerana partinya diminta untuk meninggalkan Sarawak.


Tanpa menamakan parti itu, Wong menyalahkan sebuah parti komponen BN tertentu yang bertindak sebagai ejen politik dengan mengambil alih perhimpunan S4S itu, dan dia kecewa bahawa perhimpunan S4S Sibu yang sepatutnya dianjurkan oleh mereka yang bukan ahli politik untuk tujuan mulia melindungi hak-hak Sarawak, telah menjadi acara menghentam DAP.

Wong mendakwa yang beliau telah menerima berita sebelum perhimpunan itu bahawa tangan-tangan ghaib telah masuk campur, dan atas sebab itu dia mengambil keputusan untuk tidak menghadiri perhimpunan itu.

Beliau menegaskan yang DAP Sarawak sentiasa sepakat untuk memperjuangkan hak-hak warga Sarawak seperti yang dinyatakan di dalam Perjanjian Malaysia.

Beliau berkata yang komitmen ini telah dibuktikan menerusi "Pengisytiharan Bintulu" DAP yang diumumkan tahun lalu.

- The Ant Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget