Pengesahan rombakan kabinet: Masa untuk bersatu selamatkan Malaysia


Keputusan Perdana Menteri Najib Razak untuk merombak Kabinet Kerajaan Persekutuan dengan alasan “pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran” jelas menunjukkan bahawa beliau tidak langsung mementingkan kepentingan awam di dalam keputusan yang diambil.
Pengguguran mantan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berikutan pendirian beliau untuk mempersoalkan isu 1MDB secara terbuka memberi gambaran yang jelas bahawa Najib Razak mempunyai sesuatu yang terselindung.
Ahli Umno yang sebelum-sebelum ini hanya mampu mengundang kontroversi seperti Zahid Hamidi, Ahmad Maslan, Rahman Dahlan dan Azalina Othman, pula ada yang dinaiktaraf dan kebanyakannya dikekalkan sebagai menteri kabinet.

Tidak salah rasanya jika dikatakan barisan ahli kabinet ini merupakanantara yang paling hambar di dalam sejarah Malaysia.
Dalam pada itu, beberapa ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga telah dinaiktaraf menjadi ahli kabinet, walaupun PAC sedang dalam satu fasa kritikal di dalam siasatan mereka ke atas 1MDB.
Keputusan untuk menaiktaraf ahli PAC, dan menarik ahli-ahlinya termasuklah Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed, boleh dilihat sebagai satu perancangan untuk menumpulkan usaha penyiasatan Jawatankuasa tersebut. Sekiranya bekas-bekas anggota PAC ini berwibawa, mereka sudah menolak perlantikan tersebut.
Peguam Negara Gani Patail juga telah ditamatkan kontrak sebelum waktunya. Kenyataan beliau bahawa beliau tidak mengetahui mengenai keputusan tersebut bercanggah sama sekali dengan kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa, bahawa beliau “direhatkan” atas faktor kesihatan.
Apakah ia berkait rapat juga dengan Pasukan Petugas Khas yang sedang menyiasat 1MDB dan telah melakukan beberapa tangkapan berkenaan kes tersebut?
Beliau pula digantikan oleh Apandi Ali yang merupakan bekas Bendahari Umno Kelantan.
Rombakan kabinet, penamatan kontrak Peguam Negara, penggantungan akhbar media The Edge, sekatan ke atas Sarawak Report, semua langkah ini bagai hendak menutup skandal 1MDB.
Sebagaimana telah disebut di dalam kenyataan akhbar wakil-wakil rakyat KEADILAN, DAP dan GHB, ini adalah masa perbezaan politik diketepikan dan semua wakil rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran menubuhkan sebuah kerajaan peralihan diketuai pimpinan kanan yang dihormati (elder statesman) bagi menyelamatkan Malaysia dari kemelut politik dan ekonomi yang dihadapi rakyat pada hari ini.
Nik Nazmi Nik Ahmad
Ketua Angklatan Muda KEADILAN

-Keadilan Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget