Bersih 4 bermalam di KL 29 Ogos desak Najib letak jawatan


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan mengadakan perhimpunan untuk kali keempat di 3 bandar raya berasingan pada 29 Ogos ini bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Pengerusinya Maria Chin Abdullah berkata, himpunan itu akan diadakan secara serentak di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu bermula jam 2 petang hari Sabtu itu dan berakhir pada keesokan harinya.

"Najib mengambil pelbagai tindakan yang boleh bagi melindungi rasuah. Beliau dengan keras menolak harapan rakyat demi keadilan dan integriti.

"Beliau sudah pun hilang kelayakan untuk terus berada di pejabatnya," katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Maria berkata sudah tiba masa rakyat Malaysia tampil menggesa Najib meletak jawatan dan mendesak pembaharuan institusi bagi mengakhiri rasuah perdana menteri yang didakwa sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.

Katanya, Najib boleh dikatakan menolak semua kemungkinan untuk membongkar kebenaran mengenai skandal 1MDB dan membawa penjenayah ke muka pengadilan dengan menukar peguam negara, melantik ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai timbalan menteri dan mengalih konsentrasi dengan rombakan Kabinet.

Beliau menyifatkan, kerana Jabatan Peguam Negara adalah salah satu daripada 4 agensi pasukan petugas khas 1MDB, penyingkiran peguam negara adalah gangguan secara langsung kepada kerja peguam negara.

Ia juga satu isyarat amaran kepada ketiga-tiga agensi lain – polis, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

"Memandangkan ahli PAC tidak boleh memegang jawatan eksekutif, pelantikan tersebut merupakan plot tidak bertanggungjawab Najib bagi merencatkan usaha PAC, satu-satunya institusi awam yang menyiasat skandal 1MDB, dengan sokongan Jabatan Peguam Negara.

"Dengan menerima pelantikan eksekutif itu, Nur Jazlan dan tiga rakannya mengkhianati kepercayaan yang diletakkan orang ramai terhadap PAC untuk bertindak ke atas 1MDB," kata Maria.

Beliau juga berkata, dengan perdana menteri dan timbalan perdana menteri memegang dua kementerian yang berkuasa, iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri, ia mengurangkan harapan rakyat terhadap satu siasatan bebas.

Bersih 2.0 juga mendesak 10 pembaharuan, antaranya termasuk dalam institusi pilihan raya, institusi Parlimen, menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) badan berperlembagaan yang menjawab kepada Parlimen dan menghalang perdana menteri pada masa sama juga memegang jawatan menteri kewangan.

Sebagai langkah mengembalikan keyakinan umum terhadap siasatan yang dilakukan, Bersih 2.0 menggesa 4 tindakan diambil segera.

Pertama, ia mahu Najib mengumumkan butiran akaun banknya, khususnya mengesahkan sekiranya akaun AmBank atas namanya itu wujud.

"Sekiranya ya, tunjukkan butiran transaksi yang berlaku pada tarikh-tarikh yang dipertikaikan," katanya.

Bersih 2.0 juga mahu Najib mengambil cuti sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan jawatan kerajaan yang lain sambil siasatan diteruskan dan akaun Najib, isteri dan anak-anaknya dibekukan.

"Juga, semua siasatan Bank Negara Malaysia, SPRM, polis dan PAC mengenai 1MDB dan syarikat yang berkaitan mesti diumumkan secepat mungkin," katanya. –The Malaysian Insider

Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget