Penyeludupan terbesar

Penyeludupan rokok bernilai RM33.04 juta dipercayai didalangi seorang bergelar ‘Datuk’ tumpas.

SELUDUP: Ismaili (kanan) menunjukkan ketiga-tiga
jenama rokok tersebut pada sidang media di Miri semalam.
MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Miri (DM13) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok terbesar di Sarawak setakat ini membabitkan nilai RM33.04 juta termasuk nilai cukainya dipercayai didalangi oleh seorang bergelar Datuk.
‘Datuk’ yang disyaki itu juga dipercayai dalang kepada sindiket penyeludupan rokok terbesar di negeri ini.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit tidak menolak kes berprofil tinggi itu turut melibatkan pegawai penguat kuasa sekali gus memaksa jabatan itu mengerahkan siasatan terperinci melibatkan pasukan risikan khas maritim ‘Star Team Commander’ .
“Kami juga mendapatkan bantuan perisikan luar jika perlu kerana kami tahu ada sesuatu berlaku di sini (Miri), bagi menyiasat perkara ini sehingga ke akar umbi dalam usaha membanteras dan menghentikan penyeludupan seperti ini.
“Kami tidak dapat menjelaskan dengan lanjut kerana perkara ini masih dalam siasatan. Penyeludupan ini sudah berlarutan sejak bertahun-tahun dan kami melakukan risikan sebelum melakukan serbuan,” katanya.
Ismaili memberitahu, semua rokok seludup terbabit terdiri daripada tiga jenama iaitu Era, Zitos dan Memory dengan jumlah 135,200 karton mengandungi 27.04 juta batang rokok diseludup dalam enam kontena berukuran 8.6 x 2.6 meter.
“Pasukan Tindakan Khas menahan kapal kargo kecil yang dipintas pada jarak 3.5 batu nautika dari Kuala Miri pada awal pagi 21 Julai lalu.
“Rampasan dibuat selepas pihak APMM mengadakan penggeledahan ke atas sebuah kapal bernama ULTICOM 93 yang didaftarkan di Sibu dan didapati tidak membawa sebarang dokumen tentang muatan kargo dibawa,” katanya.
Beliau memberitahu, kelima-lima anak kapal tersebut terdiri daripada seorang warga tempatan berusia 41 tahun dan empat warga Myanmar berusia antara 25 hingga 29 tahun turut ditahan.
“Kelima-lima mereka ditahan reman sehingga 2 Ogos depan untuk membantu siasatan.
“Kami mengesyaki mereka melanggar Seksyen 48 Akta Kastam dan boleh dikenakan kesalahan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” tambahnya.
Ditanya sama ada rokok diseludup masuk ke negeri ini, Ismail memberitahu bahawa pihaknya masih belum pasti berhubung perkara tersebut sehingga siasatan selesai dilakukan.
“Kami masih kurang pasti ke mana hala tuju barangan dibawa, sama ada masuk ke Sarawak atau diseludup keluar dari Sarawak, tetapi yang pasti tiada dokumen untuk mengesahkan dan kami akan melakukan siasatan.
“Bukan selalu kami melakukan tangkapan di Miri ini, jika ada sesuatu yang baharu berlaku bermakna akan ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Oleh sebab itu kami akan melakukan siasatan,” tambahnya.
Menurut beliau, penahanan dan rampasan yang terbesar ini adalah kejayaan kelima APMM di bawah Akta Kastam setakat ini.
Sehingga Julai ini juga, APMM telah berjaya menumpaskan lapan kes membabitkan nelayan asing, empat kes melibatkan Akta Perhutanan dan lebih 20 kes yang melibatkan Ordinan Perkapalan Saudagar. -Utusan Borneo.
BUKTI: Pegawai APMM memunggah keluar beberapa kotak rokok
yang diseludup dalam enam kontena untuk ditunjukkan pada sidang media.


Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget