Pengguguran Muhyiddin tidak ubah kedudukan, pendirian Sarawak dalam hal pendidikan



KUCHING: Pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pendidikan tidak akan mengubah kedudukan dan pendirian Kerajaan Negeri Sarawak dalam hal-hal pendidikan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah yang menjadi menteri bertanggungjawab terhadap pendidikan di negeri ini, berkata sesiapa sahaja yang memegang portfolio tersebut tidak akan mengubah pendirian kerajaan negeri.

Katanya kerajaan negeri akan terus menyuarakan perkara yang berkaitan isu-isu pendidikan di dalam negeri.

“Pendirian kami ialah mahu dilibatkan dalam semua perbincangan sebelum mana-mana polisi ke atas pendidikan diperkenalkan kerana senario di Sarawak adalah sangat berbeza dengan Semenanjung Malaysia maka apa yang dilaksanakan di sana kebanyakannya tidak sesuai untuk kita di sini.

“Kita juga mahu diberikan autonomi dari segi pelaksanaan beberapa polisi dan saya percaya Menteri Pendidikan baharu akan mempertimbangkan ini dengan serius,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Masja, Petra Jaya bagi mengulas pengguguran Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rombakan kabinet, semalam.

Ditanya sama ada beliau terkejut dengan pengumuman itu, Fatimah berkata; “Tidak juga… Perdana Menteri menerusi beberapa ucapannya telah memberikan bayangan bahawa beberapa ahli kabinetnya mungkin akan digugurkan.”

Jelas beliau, pengguguran dan pelantikan mana-mana ahli kabinet adalah bergantung kepada Perdana Menteri dan tiada siapa boleh mempersoalkan keputusannya.

“Bagaimanapun, kita hari ini gembira kerana mempunyai seorang lagi menteri penuh dari Sarawak,” katanya merujuk kepada Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dinaikkan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan digantikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget