Parti baharu hasil GHB dirasmi akhir Ogos

SALAHUDDIN AYUB

IPOH 26 Julai – Spekulasi mengenai tarikh penubuhan parti baharu yang bakal dibentuk hasil Gerakan Harapan Baru (GHB) yang ‘diusahakan' oleh bekas pemimpin Pas yang tewas pada pemilihan dalam muktamar bulan lalu akhirnya terjawab.

Bekas Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub hari ini mengesahkan parti baharu tersebut dijangka dilancarkan pada hujung bulan depan.

Salahuddin yang merupakan Timbalan Pengerusi GHB membe­ritahu, draf perlembagaan parti itu juga sedang dalam proses untuk disiapkan.

“Kita jangkakan akhir Ogos parti ini dapat ditubuhkan. Sekarang kita dalam proses untuk menyiapkan draf perlembagaan parti dan dalam seminggu dua lagi perkara itu dapat diselesaikan,” katanya selepas sesi Dialog Bersama Pemimpin GHB di sini.

Sebelum ini, penubuhan parti baharu itu dijangkakan pada pertengahan Ogos sebelum ditangguhkan kepada awal September dan kemudiannya pertengahan September.

Yang turut hadir pada sesi berkenaan ialah bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa; Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin serta wakil pimpinan DAP dan juga PKR negeri.

Mengulas mengenai kerangka parti itu, Salahuddin berkata, mereka sedang melihat kepada konsep parti-parti politik yang berada di dalam negara untuk dipilih.

“Saya tidak boleh beri kata putus kerana ada jawatankuasa yang sedang menyia­pkan draf perlembagaan, tetapi kita akan lihat semua kedinamikan perjuangan politik dalam negara dan akan pilih yang terbaik,” jelasnya.

Ketika diminta mengulas sama ada pendirian parti baharu itu selari dengan Pas untuk melaksanakan hukum hudud atau sebaliknya, Salahuddin menegaskan parti berkenaan menjadikan peningkatan syariat Islam sebagai agenda utamanya.

“Dasar perjuangan Islam itu sama dengan Pas, itu kita tidak boleh nafikan. Hudud satu juzuk, syariat Islam tetap menjadi agenda besar kami,” ujarnya. -Utusan Online.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget