PERBEZAAN BUKAN PENGHALANG PERPADUAN DI S’WAK

Perbezaan politik, latar belakang tidak jadi penghalang kukuh perpaduan pelbagai kaum di negeri ini



BAU: Perbezaan politik dan latar belakang di kalangan rakyat Sarawak tidak menjadi penghalang untuk mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan pelbagai kaum di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata malahan mereka akan duduk bersama, makan bersama dan minum bersama terutama pada musim perayaan.
“Ini merupakan amalan yang amat baik kepada kita di Sarawak, kita tidak mengamalkan pertelingkahan berpanjangan antara satu sama lain.
“Misalnya pada hari ini, saya gembira apabila wakil rakyat kita ada daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu (UPP), Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dan Parti Demokratik Progresif (SPDP) walaupun ada pertelingkahan namun masih dapat duduk dan bermesra bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jom Singgah Raya yang dihadiri isteri beliau, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu dan Menteri Muda Pembangunan Komuniti merangkap pengerusi pengelola Datuk Peter Nansian Ngusie di Dewan Suarah Bau di sini, semalam.
Turut hadir pada majlis itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil serta Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh Gumbek.
Tambah Adenan, walaupun adanya perbezaan politik di kalangan pemimpin, ia tidak harus menjadi penghalang untuk menyatupadukan rakyat sebagai anak Sarawak dan warganegara Malaysia.
“Jangan kita lupa bahawa ini adalah negeri dan negara kita, maka keselamatan ada di dalam tangan kita semua,” tegasnya.
Mengulas mengenai sambutan perayaan di Sarawak khasnya Hari Raya, beliau berkata ia tidak hanya disambut satu kaum sahaja tetapi semua kaum yang ada.
“Hari Raya di Sarawak bukan sahaja untuk kaum Melayu, Hari Raya di Sarawak adalah untuk Melayu, Cina, Bidayuh, Iban dan Orang Ulu.
“Ini jelas kita lihat pada hari ini (semalam), semua pelbagai bangsa datang ke sini tanpa mengira ia adalah Melayu, Bidayuh atau Cina… itulah Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu Nansian dalam ucapannya berkata, ia merupakan program yang dianjurkan bersama pelbagai agensi kerajaan termasuk sembilan  kampung di sekitar Bau.
Beliau menjelaskan bahawa sebanyak 34 gerai disediakan dengan menawarkan pelbagai juadah serta minuman kepada pengunjung yang hadir.
“Kita menjangkakan akan menarik 2,000 pengunjung namun melihat kepada mereka yang hadir ia nampaknya lebih daripada itu dan mereka yang hadir ini adalah daripada pelbagai lapisan masyarakat dari beberapa kampung di Bau,” katanya.
Pada majlis itu Adenan turut menyampaikan sumbangan daripada syarikat San Chin Realty Sdn Bhd kepada anak yatim, ibu tunggal dan 10  kampung Melayu di Bau bernilai RM100,000 keseluruhannya.
Daripada jumlah itu anak-anak yatim menerima sumbangan sebanyak RM30,000, ibu tunggal (RM20,000) dan 10 kampung Melayu (RM50,000). -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget