Masir ikrar selesai jalan tikus di sempadan


SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat yang baharu dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam rombakan Kabinet Persekutuan semalam berjanji akan menyelesaikan isu jalan tikus di kawasan sempadan di Sarawak.
Masir berkata beliau pernah mengutarakan isu jalan tikus di Sarawak sebelum ini ketika persidangan Parlimen namun tidak pernah mendapat tindakan susulan daripada pihak kementerian berkaitan bagi menangani masalah itu.
“Masalah jalan tikus pernah saya utarakan pada sidang Parlimen namun tidak ada tindakan lanjut dan lantaran itu saya berazam akan membanteras sepenuhnya jalan tikus di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, Indonesia,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Masir juga menyatakan kesediaannya memikul tugas Timbalan Menteri Dalam Negeri yang pernah disandang Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini.
Katanya pengalaman menangani perkara berkaitan sempadan, pendaftaran dan isu-isu berkaitan hal ehwal sempadan sebelum ini membolehkan dirinya bersedia memikul jawatan tersebut.
“Saya akan cuba mempelajari selok-belok lebih mendalam mengenai bidang kuasa kementerian sebelum mengenali agensi-agensi berada di bawahnya nanti,” ujarnya.
Masir mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti dan semua pihak kerana memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya dalam memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baharu. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget