UPP ikhlas dalam usaha berdamai‎


Wong Soon Koh

KUCHING - Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu menerima kenyataan politik demi kepentingan masyarakat Cina, kata pengerusi pusat Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Seri Wong Soon Koh.

“Mereka (SUPP) perlu menerima kenyataan bahawa UPP adalah sebuah parti dan suatu kuasa yang perlu diambil kira, terutama dalam masyarakat Cina. Oleh itu, SUPP perlu menerima kenyataan ini dan duduk bersama kami untuk menjayakan pelan perdamaian," katanya.

Wong, yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak, berkata walaupun UPP dan SUPP mungkin kuat di kawasan tertentu, tetapi mereka perlu berdamai demi kepentingan masyarakat Cina serta untuk memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar pada pilihan raya negeri dan Parlimen akan datang.

“Tawaran untuk berdamai ini masih ada. Kami telah menghulurkan tangan untuk berdamai dan kini terserahlah kepada SUPP.

“Sekiranya mereka ingin menyelesaikannya demi kepentingan masyarakat Cina, kami amat ikhlas mengenainya dan tawaran ini masih wujud kerana kami mahu wujudnya perpaduan masyarakat Cina secara menyeluruh," kata Wong kepada pemberita selepas menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pejabat beliau di sini hari ini.

Pada 17 Mac, majlis makan tengah hari SUPP-UPP dianjurkan bagi memberi peluang kepada para pemimpin kedua-dua parti itu berjumpa dan berdamai.

Bagaimanapun, sebuah akhbar dalam laporannya memetik Pengerusi SUPP Senator Prof Datuk Dr. Sim Kui Hian sebagai berkata UPP tidak ikhlas dalam tawarannya untuk berdamai.

Wong berkata ketika bertemu Sim pada majlis rumah terbuka Hari Raya Yang Di-pertua Negeri di Astana, Sim menafikan laporan akhbar itu.

"Saya serta 15 pemimpin UPP lain bertanya kepada Sim kenapa beliau berkata kami tidak ikhlas, tetapi Sim menafikan beliau berkata demikian dan mendakwa akhbar berkenaan tersilap lapor mengenainya.

"Oleh itu, Sim perlu memberi penjelasan tentang kenyataannya itu kerana kami tidak tahu siapa yang salah, Sim atau pemberita akhbar berkenaan," kata Wong. 

- Sinar Harian

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget