Mampukah Muhyiddin ulangi kejayaan Anwar, Ku Li




SELEPAS 17 tahun berlalu peristiwa seorang pemimpin kanan Umno disingkirkan, hari ini tragedi itu berulang kembali.

Tanggal 2 September 1998 detik terakhir dalam sejarah negara Timbalan Perdana Menteri digugur. Namun rupa-rupanya episod serupa kembali berulang semalam.

Cuma membezakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dicederakan dengan pertuduhan lebih aib, berkaitan isu liwat dan rasuah. Setahun sebelum Tun Dr Mahathir Mohamad mengenepikan regunya itu, buku menghodohkan Anwar dijaja di Perhimpunan Agung Umno.

Buku 50 Dalil Sebab Anwar Tidak Boleh Menjadi PM dikatakan dimasukkan ke dalam beg setiap perwakilan Umno ketika itu.

Ini bermakna setahun berlaku pertembungan antara Anwar-Mahathir. Banyak kesimpulan dibuat terhadap krisis kedua-dua pemimpin terbabit.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Ketua Pemuda Umno, satu-satunya pemimpin Umno yang tampil mempertahankan Anwar tatkala itu.

Pindaan Akta Pencegahan Rasuah di parlimen ketika Anwar memangku jawatan Perdana Menteri juga antara penyebabnya.

Ada juga penganalisis politik yang mendakwa bahawa pertembungan perniagaan antara Tun Daim Zainuddin dan penyokong Anwar juga menjadi tetek-bengek membawa penyingkiran bekas Presiden Abim terbabit.

Kesimpulan daripada drama pertembungan itu dilihat ada kaitan kemungkinan Anwar boleh menggantikan Dr Mahathir.

Ternyata episod pertembungan Anwar-Mahathir begitu kritikal. Mungkin agak berbeza dengan apa berlaku semalam.

Ramai tidak nampak ada gelombang besar kecuali isu 1MDB. Benarkah ia sekadar 1MDB yang disebut orang ke merata dunia.

Isu 1MDB bukan sekadar seperti buku 50 dalil yang ditulis Khalid Jefri. Ia hanya sekadar persepsi dan pertuduhan umum.

Sebaliknya isu 1MDB dikatakan lengkap dengan data dan dokumen. Bermula dengan laporan Sarawak Report kemudian dipanjangkan pula The Wall Street Journal (WSJ).

Laporan tambah meluas dengan penglibatan The Edge Financial Daily. The Edge dibayar keringat oleh KDN kerana mendedah isu 1MDB dengan digantung permit tiga bulan.

WSJ juga diberi surat tunjuk sebab kerana mendakwa RM2.65 bilion daripada 1MDB disalur ke akaun Najib.

Sarawak Report juga berdepan tindakan keras. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses ke laman web pemberi maklumat yang berpangkalan di London itu.

Isu 1MDB turut mengheret Harakah dan Harakahdaily ke mahkamah. Datuk Seri Najib Razak memfail saman fitnah terhadap media milik PAS terbabit.

Saman difail Perdana Menteri pada 18 Mac lepas ekoran rencana ditulis Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob menyentuh isu dana 1MDB.

Boleh dikatakan kronologi penyingkiran Muhyiddin dimulakan dengan “serangan” terhadap media oposisi. Ramai melihat isu 1MDB benar-benar mengundahkan Najib.

Skala richter polemik 1MDB jauh mengatasi isu wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang pernah dikait dengan Perdana Menteri sebelum ini.

Tindakan politik drastik dilihat bakal mengheret sesiapa sahaja yang cuba bermain wayang di sebalik isu 1MDB.

Mangsa yang dijelmakan di sebalik drama 1MDB ialah Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal. Bagaimanapun Datuk Seri Hassan Malek, Datuk Seri G Palanivel dan Datuk Dr Ewon Ebin dikatakan berlainan episodnya.

Begitu juga Datuk Abd Rahim Bakri, yang dilihat hanya melengkapkan senarai bagi mengiringi pemergian Muhyiddin dan Shafie.

Setidak-tidaknya Najib boleh mencari alasan lain, bukan semata-mata 1MDB. Apa pun tindakan Perdana Menteri mulai mempamerkan semangat jantan melalui hak prerogatif.

Muhyiddin dan Shafie sedar kehadiran mereka dalam kabinet Najib pada 15 Mei 2013 kerana hak prerogatif Perdana Menteri.

Namun kelaziman yang menjadi amalan kerana Muhyiddin berada di kerusi Timbalan Presiden Umno. Begitu juga Shafie salah seorang yang menang Naib Presiden Umno. Mereka menang pada pemilihan Umno Oktober 2013.

Biar pun sudah dua kali rombakan kabinet Najib sejak PRU 2013, namun Muhyiddin dan Shafie tidak tergugat.

Tiba-tiba semalam rombakan kabinet kali ketiga, Najib terus menyingkirkan mereka.

Pemilihan Umno

Pemilihan Umno sepatutnya diadakan pada akhir tahun hadapan. Namun Najib menangguh lagi selama 18 bulan. Ini bermakna usia barisan kepemimpinan yang ada sekarang akan berakhir Febuari 2018.

Berdasar kepada perkiraan itu pilihan raya umum (PRU) ke-14 dijangka diadakan sekitar 2017. Namun sasaran itu mungkin berubah dengan krisis yang melanda Umno sekarang.

Jumaat ini mesyuarat MT Umno mungkin mencipta sejarah kedua buat Muhyiddin dan Shafie. Pada September 1998 sehari selepas digugur dari kabinet Anwar dilucut keahlian Umno. 

Rakyat masih menunggu riak dicipta Muhyiddin dan Shafie dengan gandingan Dr Mahathir. Anwar berjaya mencipta gelombang pada 1998 selepas disingkirkan Dr Mahathir.

Hasilnya PRU 1999 Terengganu terlepas ke tangan PAS dan Kelantan kekal di bawah ulama. PAS menuai hasil dengan episod kekejaman menimpa Anwar apabila menang 27 kerusi parlimen.

Tengku Razaleigh Hamzah juga boleh dikatakan berupaya mencipta gelombang selepas tewas 43 undi di tangan Dr Mahathir pada pemilihan Umno 1987.

Semangat 46 dilahirkan Ku Li sehingga membolehkan PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah bertapak kembali di Kelantan pada PRU 1990.

Apa yang jelas, Najib dilihat tanpa sedar mencipta banyak musuh sekarang. Penamatan serentak jawatan Tan Sri Ghani Patail mengejutkan.

Begitu juga pelantikan Datuk Nur Jazlan Mohamad sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dianggap ada kaitan bagi melambat prosiding siasatan PAC terhadap peneraju 1MDB.

Bagaimanapun Peraturan 77(3) Dewan Rakyat menyebut ketiadaan pengerusi atau naib pengerusi PAC kerana keuzuran atau sebab lain, PAC hendaklah memilih salah seorang anggotanya mempengerusikan mesyuarat.

“Hal ini bermaksud, prosiding PAC yang diatur pada Ogos ini membabitkan 1MDB tidak perlu ditangguhkan,” dakwa Kajian Politik Untuk Perubahan.

Sekarang mampukah Muhyiddin dan Shafie mengulangi kejayaan Anwar dan Ku Li. – HARAKAHDAILY

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget