Seramai 20 ahli NGO wanita, ibu tunggal sertai Kursus Asas Solekan


SRI AMAN: Seramai 20 kaum wanita terdiri daripada ahli NGO wanita dan ibu tunggal di Sri Aman menyertai Kursus Mobile Spa (Asas Solekan) anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak dengan kerjasama Unit Sosial, Pejabat Residen Bahagian Sri Aman di Bilik Serba Guna, Dewan Suarah Sri Aman di sini semalam.

Kursus berlangsung selama dua hari itu bertujuan mempelajari teknik dan asas rawatan muka, solekan, lulur badan dan spa di samping diajar mengendali Mobile Spa Unit bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan rawatan kecantikan, solekan dan spa dari rumah ke rumah.

Timbalan Residen Sosial Bahagian Sri Aman, Joseph Liaw ketika menyampaikan ucapan semasa menutup rasmi kursus ini turut memuji usaha Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak atas penganjuran kursus yang dilihat mampu menjana ekonomi kaum wanita di daerah ini.

“Saya berharap jabatan ini menganjur lebih banyak lagi kursus-kursus sebegini selepas ini dalam membangun wanita kita khususnya di Sri Aman dalam usaha meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing,” jelasnya.

Sementara itu, Wakil Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Grace Luyang berkata, kursus kecantikan dan spa ini adalah kursus baharu diperkenal di Pusat Latihan Wisma Wanita dan sesi pembelajaran itu telah dikendali oleh tenaga pengajar profesional Pusat Kecantikan Dzurainas Enterprise.

Menurutnya, selain daripada kursus ini, dua lagi kursus yang dijalan di pusat ini iaitu Kursus Jahitan Kreatif yang diadakan pada setiap hari Isnin dan Selasa dan Kursus Masakan dan Pastri yang diadakan setiap hari Rabu dan Khamis.

“Ketiga-tiga kursus yang dijalan di pusat ini bukan sahaja dijalankan di Kuching sebaliknya turut dipanjang ke luar kawasan Kuching.

“Ini bertujuan memberi peluang kepada wanita di luar kawasan Kuching mendapat peluang memgikuti kursus yang dapat menjana pendapatan dengan mudah dan tidak memerlu modal perniagaan yang terlalu besar,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengarah Urusan Raffelisia Wellness Sdn Bhd Shirley Hasmani Eddie serta Temenggung Abang Bohari Abang Zen.-Utusan Borneo

Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget