Wan Junaidi sifatkan pelantikan sebagai satu penghormatan


KUCHING: Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar adalah satu penghormatan.
Membandingkan lantikan sebelum ini sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri katanya, lantikan baharu itu ‘tidak kurang mencabar’.
Jelasnya, jawatan menteri sentiasa diduduki oleh ahli-ahli politik kanan dan berpengaruh seperti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dahulu serta kepimpinan atasan parti-parti komponen Barisan Nasional.
“Bagaimanapun, saya amat yakin bahawa saya dapat melaksanakan tugas dengan baik, sama seperti ketika saya di Kementerian Dalam Negeri,” katanya ketika mengulas mengenai pelantikan baharunya dalam rombakan kabinet, semalam.
Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong tidak menafikan dirinya agak terkejut namun berbesar hati dengan jawatan baharunya itu.
Bagi memastikan beliau dapat menjalankan tanggungjawab dengan efektif katanya, tugas utamanya adalah untuk membiasa dan menyesuaikan diri dengan kementerian itu dan peranan kementerian dalam kerajaan.
“Apabila difikirkan, saya menyedari bahawa diri saya dapat memberi perkhidmatan langsung kepada rakyat menerusi kementerian ini.
“Saya juga akan terus menabur bakti kepada negara khasnya Sarawak memandangkan kementerian ini banyak berhadapan dengan isu alam sekitar, sungai, laut dan tanah,” katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepercayaannya.
“Saya juga ingin merakam terima kasih kepada Ketua Menteri serta Kementerian Dalam Negeri atas sokongan mereka,” katanya.
Sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 2013, Wan Junaidi merupakan salah seorang Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Ahli politik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berpengalaman itu menceburi politik apabila dipilih sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar pada 1990.
Beliau membantu PBB mempertahankan kawasan itu selama tiga penggal sebelum bertukar ke Santubong pada 2004 di mana beliau berjaya mempertahankan kerusi itu sejak tahun tersebut. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget