MUHYIDDIN YASSIN (tengah) bersama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman ketika sidang akhbar di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA |
KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji akan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap parti dengan meneruskan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) walaupun telah digugurkan dalam barisan Kabinet semalam.
Beliau berkata, sebagai ahli politik yang telah lama berjuang, amanah dan tanggungjawab tersebut harus dipikul dengan sebaik-baiknya demi parti, rakyat dan negara.
Walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam Kabinet, beliau tidak mempunyai halangan dan kekangan untuk melaksanakan segala dasar yang telah direncanakan untuk mengukuhkan perpaduan dalam parti, orang Melayu dan rakyat negara ini keseluruhannya.
“Sebelum ini pun semasa saya memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, saya telah melaksanakan apa yang saya fikir terbaik untuk parti, mengukuhkan perpaduan dalam parti, orang Melayu dan rakyat Malaysia dengan melaksanakan segala dasar yang telah dibuat oleh parti dan kerajaan supaya rakyat akan terus menyokong.
“Hal-hal sebegini akan saya teruskan walaupun terbatas apabila tidak lagi menjawat Timbalan Perdana Menteri, itu tidak ada halangan dan kekangan kerana rakyat juga mahu kita buat perkara-perkara yang perlu untuk negara yang kita cintai,” katanya dalam sidang akhbar pertama selepas digugurkan daripada Kabinet di kediamannya, di sini hari ini.
Mengulas mengenai kerjasama beliau dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas ini, beliau berkata, perkara tersebut tidak menjadi masalah kerana tugas beliau adalah membantu Presiden dan pimpinan tertinggi lain dan peranan tersebut akan tetap diteruskan.
Katanya, beliau sedikit pun tidak rasa tergugat ekoran penggugurannya dalam Kabinet, tetapi apa yang lebih utama ialah memastikan perjalanan parti di setiap peringkat dijalankan termasuk persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum.
Pada masa sama, jelasnya, beliau tidak mahu menjadi penyebab sehingga menimbulkan perbalahan dan perpecahan dalam parti berdasarkan kedudukannya ketika ini kerana selama beliau menjadi Timbalan Presiden, tidak ada pertembungan yang berlaku sehingga menimbulkan krisis.
“Saya tidak fikir kedudukan saya tergugat. Saya bukan baharu, saya sudah lama dalam parti walaupun tidak lagi menjawat jawatan dalam kerajaan, saya akan menjalankan tugas parti, merasmikan bahagian UMNO kalau dijemput dan saya tidak rasa terhalang dan tidak bimbang untuk hadir kerana saya fikir orang yang duduk dalam parti adalah orang yang berpengalaman dan mereka bersikap adil, terbuka dan boleh berikan ruang untuk mengutarakan pandangan.
“Saya pentingkan perpaduan parti. Saya fikir ini tidak menjadi masalah kepada kita, kita akan bekerja sebaik mungkin dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk pimpinan parti komponen BN yang memerlukan pimpinan, bantuan dan kerjasama daripada saya,” katanya.
- Utusan Online
Post a Comment