Hubungan dalam keluarga kami baik - Nazir


PUTRAJAYA: "Segalanya masih baik dalam keluarga kami." Demikian reaksi ringkas, Datuk Seri Nazir Razak ketika ditanya mengenai hubungan dalam keluarganya di sebalik perbezaan pandangan antara beliau dengan Perdana Menteri yang juga abangnya, Datuk Seri Najib Razak. 

Nazir yang juga Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah, di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri di sini, semalam. 

Pada majlis dihadiri kira-kira 5,000 tetamu itu, Nazir dilihat berbual bersama Perdana Menteri yang hadir bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. 

Ketika ditanya, adakah perbualan mereka turut menyentuh soal penggantungan permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily, beliau enggan mengulas lanjut. 

"Itu perbualan peribadi saya dengan abang saya (Najib), namun takkanlah saya perlu berkongsi semuanya dengan anda (wartawan)," katanya. 

Nazir turut mengulas mengenai 'posting' yang dimuat naik di laman Instagramnya berhubung penggantungan itu. 

Hanya beri pendapat 

"Ia bukan kerana mereka (kakitangan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily). Saya berpegangan kepada kebebasan bersuara dan memberi pendapat. Itu saja. 

"Ini (pendirian saya), bukan mempertahankan sesiapa... ini adalah prinsip kebebasan media," katanya. 

Jumaat lalu, Nazir menerusi laman Instagramnya memuat naik logo The Edge dengan keterangan gambar "The Edge adalah tonggak untuk komuniti perniagaan - berperanan dalam memberi maklumat kepada kami secara jujur dan kompetitif. 

Kebelakangan ini, liputan mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mungkin agak menonjol, tetapi sekiranya ada kesalahan, betulkan mereka atau ambil tindakan undang-undang. Saya mengutuk penggantungan itu dan ingatan saya kepada semua kakitangan yang terbabit." 

Jumaat lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily digantung selama tiga bulan bermula hari ini.

- BH Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget