Rombakan Kabinet Najib tidak boleh puaskan hati semua orang, kata TPM


Kuasa merombak Kabinet adalah kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan sukar untuknya memuaskan hati semua pihak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang dilantik menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komposisi Kabinet baharu Najib yang diumumkan awal minggu lalu mencerminkan gabungan pemimpin baru dan lama serta mewakili keseluruhan parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Komposisi Kabinet melihatkan ia mewakili bukan saja parti komponen BN, ia mewakili tokoh baharu, lama dan mereka dinaikkan pangkat.

"Mustahil kita dapat puaskan hati semua orang, kuasa mutlak di tangan perdana menteri, tentunya beliau ada pandangan sebelum keputusan itu dibuat.

"Bukan saja individu tetapi latar belakang keperluan kedudukan parti dalam BN," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan berkata, orang ramai masih belum yakin dengan Kabinet baharu Najib itu.

"Saya rasa perdana menteri fikir ia Kabinet yang lebih baik. Saya tidak ada pendapat," kata bekas perdana menteri itu pada sidang media selepas program pelancaran Liver Centre, Pusat Perubatan Prince Court, di Kuala Lumpur, hari ini.

Seperti mana Dr Mahathir, Zahid berkata, selama 22 tahun pemerintahannya, berlaku beberapa kali rombakan Kabinet.

"Beliau menjadi perdana menteri 22 tahun, selama 22 tahun banyak kali pembentukan Kabinet, rombakan Kabinet," katanya. –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget