Pecat Muhyiddin, Gani Patail untuk Najib elak disiasat, kata Azmin




Tindakan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara memberikan gambaran Datuk Seri Najib Razak, bertindak mempertahankan kedudukan dan regimnya daripada disiasat panel bebas atas pelbagai salahguna kuasa dan rasuah yang melibatkan berbilion ringgit, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata, Malaysia terjerumus ke dalam gaung krisis yang makin parah dengan penyingkiran Muhyiddin daripada Kabinet selepas beberapa hari selepas beliau memberi kenyataan perdana menteri perlu memberikan jawapan kepada skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Negara memerlukan reformasi menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa demi menyelamatkan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat," kata timbalan presiden PKR itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu menggesa agar ahli-ahli Parlimen tanpa mengira parti perlu bersatu padu untuk menyelamatkan Malaysia.

Beliau berkata, rakyat tidak memberikan dokongan kepada mana-mana ahli Parlimen untuk duduk diam dan membiarkan negara menjunam ke dalam gaung krisis yang semakin parah.

"Dalam pertemuan saya selama lebih dua jam pada Jumaat lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan pesan agar rakyat Malaysia dan NGO bersatu untuk bersama dalam membawa perubahan."

Azmin turut berkata, PKR turut memulakan siri jelajah Amanat Presiden sejak seminggu yang lalu untuk memupuk perpaduan dalam parti sebagai asas untuk menggembleng kekuatan rakyat dan semua kekuatan politik dalam negara untuk melaksanakan perubahan.

Rombakan Kabinet yang diumumkan Najib hari ini menyaksikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai timbalan perdana menteri yang baharu dan pada masa sama akan mengekalkan portfolionya sekarang sebagai menteri dalam negeri.

Najib membuat pengumuman tersebut hari ini dalam satu siaran secara langsung, sekaligus mengesahkan laporan The Malaysian Insider pagi ini mengenai rombakan Kabinet dan penyingkiran Muhyiddin.

Najib turut mengumumkan penyingkiran Muhyiddin sebagai timbalannya, dan menyifatkannya satu "keputusan amat sukar" tetapi terpaksa dilakukan bagi memastikan Kabinet bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.

"Saya boleh terima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian daripada proses dalam membuat keputusan.

"Namun sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan pada forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara," katanya.

"Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet (collective responsibility)," kata Najib.

Beliau berkata, rombakan Kabinet itu dilakukan selepas mengambil kira pertimbangan politik dan keperluan pentadbiran beliau bagi memastikan ia komited dan sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara.

"Keputusan menggantikan Muhyiddin merupakan satu keputusan yang amat sukar, tetapi terpaksa saya lakukan agar Jemaah Menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.

"Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti yang dicurahkan oleh Muhyiddin.

"Begitu juga oleh menteri dan timbalan menteri yang kini tidak lagi bersama saya di dalam pentadbiran kerajaan," kata Najib dalam pengumumannya yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

"Keputusan saya menggantikan Muhyiddin dengan Zahid, menggugurkan empat orang menteri dan seorang timbalan menteri serta perubahan portfolio, dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran.”

Zahid sementara itu berkata, pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri bukanlah satu habuan tetapi tanggungjawab kepada negara, bangsa dan negara.

Turut digugurkan daripada barisan Jemaah Menteri hari ini ialah naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini memegang jawatan menteri pembangunan luar bandar dan kesejahteraan bandar.

Beliau juga sebelum ini lantang menegur cara Putrajaya mengendalikan krisis 1MDB.-The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget