PEDAS sokong penduduk Baram bantah pembinaan Empangan Baram

 

MIRI: Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) semalam menyatakan kesetiaan mereka untuk terus bersama dengan penduduk Baram membantah cadangan projek pembinaan Empangan Baram dan berjanji memberi sokongan moral kepada mereka.

Setiausaha PEDAS Bill Kayong memberitahu bahawa PEDAS turut sama menyertai penduduk Baram lain, melahir rasa tidak puas hati dengan keputusan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem tidak menyatakan dengan jelas sama ada mahu membatal projek tersebut atau sebaliknya.

Adenan berada di pekan kecil Long Lama, kira-kira satu setengah jam perjalanan dari sini, semalam, untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembinaan Jambatan Long Lama yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang.

“Kami akan bersama penduduk Baram membantah dan meminta Kerajaan Negeri Sarawak, jika boleh membatalkan terus projek tersebut,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Katanya seruan Ketua Menteri itu supaya halangan di laluan menuju ke tapak cadangam empangan tersebut dihenti terlebih dahulu kemudian diikuti dialog atau perbincangan, tidak dipersetujui oleh PEDAS.

“Sebaliknya PEDAS menyokong pandangan agar berbincang terlebih dahulu dan hasil daripada perbincangan ini kelak yang akan memutuskan dan menentukan sama ada halangan berkenaan dihentikan atau diteruskan.

“Kami menyokong penduduk di Baram yang membuat halangan di situ, untuk tidak menghentikan halangan yang dibuat oleh mereka selagi tiada keputusan daripada Ketua Menteri untuk memutuskan agar cadangan projek pembinaan Empangan Baram ini dibatalkan serta-merta,” jelas beliau lagi.

Semalam, PEDAS turut menghantar lebih 30 orang ahlinya untuk bersama-sama warga Baram, bagi memberi sokongan moral untuk membantah pembinaan Empangan Baram, menyertai seramai 500 orang ahli dan penyokong pertubuhan Jaringan Selamatkan Sungai-Sungai Sarawak (SAVE Rivers) di Long Lama.

Dalam pada itu katanya, PEDAS mahu semua masyarakat Baram bersatu bersama untuk menentang serta membantah Empangan Baram dengan bersama-sama mendesak kerajaan negeri membatalkan cadangan projek tersebut.-Utusan Borneo

Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget