Malaysia tidak akan tandatangani TPPA

KUALA LUMPUR 29 Julai – Kerajaan menegaskan tidak akan menandatangani sebarang Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) di Hawaii dan masih menimbangkan banyak perkara yang perlu diberi perhatian sewajarnya sebelum perjanjian itu dimuktamadkan.

Mustapa Mohamed
Menteri Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Moha­med ber­kata, TPPA tidak akan menghalang kerajaan daripada meneruskan dan mengawal selia objektif dasar awam yang sah terutama dalam isu berkaitan keselamatan negara, persekitaran kesihatan awam dan kebajikan.

Selain itu katanya, terdapat beberapa langkah perlindungan sedang dirundingkan termasuk mengelakkan cabaran tidak penting yang dibangkitkan pelabur dan komited untuk memastikan dasar utama negara terutama agenda bumiputera dilindungi.

Beliau berkata, kerajaan juga menyedari, satu daripada kebimbangan utama daripada isu TPPA ialah mekanisme kemasukan Pelabur-Penempatan Pertikaian Negeri (ISDS) yang dilihat akan meninggalkan kesan ke atas kedaulatan negara dan menghadkan ruang dasar untuk kawal selia kerajaan.

“Bagaimanapun, adalah penting untuk kita tahu bahawa ISDS bukanlah satu perkara yang baharu buat Malaysia. Kita sudah mempunyai 74 Perjanjian Pelaburan Dua Hala (BIT) dan lapan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang mengandungi peruntukan ISDS. Walaupun skop ISDS dalam TPPA adalah lebih luas, terdapat peruntukan jelas yang mengesahkan hak-hak kerajaan untuk mengawal dan mencegah tuntutan dan cabaran yang remeh.

“Pelabur Malaysia di luar negara juga akan mempunyai mekanisme perlindungan yang sama di negara-negara TPPA yang mereka ceburi. Malah, pada akhir tahun lalu, saham pelaburan Malaysia di luar negara melebihi pelaburan langsung asing ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malaysia sedang menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri berkaitan TPPA di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) mulai semalam hingga 31 Julai ini dengan tujuan untuk membuat kesimpulan berhubung rundingan tersebut yang bermula lima tahun lalu.

Mesyuarat itu disertai menteri perdagangan dari 12 negara Asia, Amerika Utara dan Amerika Latin iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.

Semalam, Setiausaha Negara bagi Keselamatan Awam, Demokrasi dan Hak Asasi Manusia, Sarah Sewall, dalam taklimat kepada media di Washington, menafikan langkah menaikkan kedudukan Malaysia daripada Tahap Tiga dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2015 (TIP) ke Senarai Pengawasan Tahap 2, mempunyai kaitan dengan penyertaan negara itu dalam TPPA yang mensyaratkan pihak yang menandatanganinya perlu memenuhi piawaian minimum hak asasi manusia.

Mustapa berkata, kerajaan juga tidak berselindung dalam isu TPPA apabila tidak membincangkan teks rundingan secara terbuka kepada umum.

“Semua isu-isu yang dikemukakan dalam rundingan ini telah dibincangkan secara terbuka dalam penglibatan kami dengan pelbagai pihak berkepentingan. Kerajaan tidak berniat untuk menyimpan teks rundingan ini secara rahsia.” katanya.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget