PETALING JAYA, (Bernama) -- Naib presiden PKR Mohd Rafizi Ramli hari ini diperintah membela diri terhadap pertuduhan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan anggota UMNO melalui kenyataannya dalam satu artikel Februari tahun lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen Azwarnida Affandi membuat keputusan itu terhadap Mohd Rafizi, yang juga anggota Parlimen Pandan, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 20 Ogos ini untuk Mohd Rafizi membela diri.
Mohd Rafizi, 38, didakwa dengan sengaja mengaibkan dan membangkitkan kemarahan anggota UMNO melalui kenyataannya dalam artikel bertajuk 'Will Rafizi quit if Selangor is not toppled?' yang boleh menjejaskan keamanan awam.
Rafizi yang ketika itu sebagai Pengarah Strategik PKR didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat The Edge Malaysia Communication Sdn Bhd, Menara KLK, Jalan PJU 7/6, Mutiara Damansara pada 11.40 pagi, 4 Feb 2014.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azari Harun sementara peguam Eric Paulsen mewakili Mohd Rafizi.
-- BERNAMA
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.