BERHENTI JADI GURU, CARI KERJAYA LAIN

Guru bertindak sehingga membawa kecederaan murid harus berhenti: Baru

Baru Bian
KUCHING: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian berkata guru yang didapati bertindak di luar batasan sehingga membawa kecederaan kepada murid harus berhenti menjadi pendidik dan mencari kerjaya lain.
“Orang yang tidak ada kebolehan mengajar dan bertindak mengikut perasaan dengan mendera kanak-kanak yang tidak dapat mempertahankan diri, mesti berhenti menjadi guru dan mencari kerjaya lain.
“Kita tidak mahu anak-anak kita dirosakkan oleh  guru yang bersikap sedemikian,” katanya sebagai mengulas insiden seorang murid lelaki tahun enam di Long Lama, Miri dimasukkan ke Hospital Miri (Jumaat lepas) setelah dipercayai ditendang, ditampar dan dipukul menggunakan pembaris kerana tidak menyiapkan kerja rumah.
Ibu bapa ujarnya, memberi kepercayaan kepada guru untuk mengajar serta membentuk minda yang baik terhadap anak-anak seterusnya menjadikan mereka warganegara berguna pada masa depan.
Guru tambahnya diambil bekerja untuk memberi inspirasi kepada murid belajar dan menimba ilmu pengetahuan.
“Sepanjang tempoh membesar, pengaruh guru sangat penting dalam membentuk perangai generasi masa depan kita.
“Dalam kes ini, guru tersebut telah mengkhianati kepercayaan diberikan ibu bapa kepadanya,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan itu.
Menurutnya, pelajar tidak menyiapkan kerja rumah mereka adalah perkara biasa tetapi ia tidak bermakna guru boleh menendang, menampar mahupun memukul mereka sehingga menyebabkan kecederaan.
Tindakan seperti itu katanya, akan menyebabkan mangsa trauma secara mental dan emosi serta menyebabkan mereka enggan ke sekolah selain meletakkan mereka dalam bahaya kecederaan fizikal.
“Saya difahamkan guru terbabit adalah guru lelaki muda dari Semenanjung Malaysia… sebelum ini saya pernah mengatakan, ramai guru dari Semenanjung Malaysia tidak gembira mengajar di luar bandar dan mungkin guru ini melepaskan rasa kecewanya ke atas murid berkenaan.
“Oleh itu kita mesti melatih rakyat kita sendiri layak menjadi guru kerana mereka lebih mengenali dan memahami anak-anak kita,” katanya.
Baru menambah jika benar guru terbabit menendang, menampar dan memukul murid berkenaan, dia seharusnya didakwa melakukan serangan.
“Ini adalah perbuatan jenayah dan pihak berkuasa mesti menunjukkan bahawa tindakan amat kejam ini tidak boleh diterima,” tegas Baru yang juga seorang peguam. -Utusan Borneo.
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget