Umno tidak lagi berbaloi untuk disertai, kata ibu Dyana Sofya

Umno tidak berbaloi untuk disertai, kata ahli dipecat, Yammy Samat yang berkata penyingkiran beliau daripada parti itu sesuatu jauh lebih remeh berbanding jenayah dilakukan Anina Saaduddin kerana memfailkan saman terhadap presiden parti.
Setahun selepas memutuskan hubungan dengan Umno, Yammy, ibu kepada ahli DAP Dyana Sofya Mohd Daud berkata beliau tidak menyesal meninggalkan parti.

Yammy, bekas setiausaha Umno Bahagian Ipoh dipecat tahun lepas kerana mengiringi anak perempuannya, Dyana - calon pilihan raya kecil DAP di Teluk Intan semasa kempennya.

Pada Rabu, Anina, pemimpin Wanita Umno Langkawi dipecat kerana membawa parti itu ke mahkamah.

Anina memfailkan saman terhadap presiden parti Datuk Seri Najib Razak, dengan mengambil kira kronologi peristiwa melibatkan RM2.6 bilion disalurkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Semalam, Anina mengeluarkan kata dua kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menarik balik surat pemecatan beliau atau bersedia menghadapi tindakan undang-undang kerana gagal untuk melindungi aset parti itu yang berjumlah AS$650 juta (RM2.6 bilion).

Anina memberitahu pemberita pada sidang akhbar, pemecatan beliau batal dan tidak sah kerana tindakan undang-undang itu sudah dimulakan.

"Jika beliau tidak menariknya balik, saya mempunyai hak mengambil tindakan terhadapnya kerana melanggar peraturan parti dan untuk kegagalan melindungi aset Umno sehingga AS$650 juta hilang daripada akaun Umno," katanya.

Yammy sementara itu, memberitahu The Malaysian Insider tidak seperti Anina, jenayah beliau hanya mengikuti anaknya pada kempennya, tetapi beliau disingkir daripada Umno.

"Saya hanya mengikut anak perempuan bagi menyokongnya tetapi saya dipecat," kata Yammy.

"Tidak berbaloi berada dalam Umno lagi," katanya kepada The Malaysian Insider.

Walaupun kecewa dengan reaksi Umno, Yammy berkata dia berasa lebih bebas tanpa sebarang pemantauan.

"Saya berasa lebih bebas dan bahagia kerana saya dapat menghadiri apa-apa majlis yang saya suka," katanya.

Yammy berkata pemerintahan Najib sebagai presiden Umno akan datang berakhir memandangkan keadaan semasa dalam parti itu yang sedang berpecah berhubung RM2.6 bilion yang diletakkan di dalam akaun bank peribadinya.

"Ia adalah masa yang sesuai bagi beliau meletak jawatan, walaupun beliau dapat mengekalkan kuasa, orang ramai tidak lagi menghormati beliau," kata wanita berusia 60 tahun itu, mengulangi gesaan yang dibuat ahli-ahli Umno vokal agar Najib meletak jawatan.

Yammy, yang menjadi ahli Umno selama 40 tahun menyertai parti itu pada usia 19, diberikan surat tunjuk sebab selepas mengiringi anak perempuannya dalam kempen pilihan raya kecil Teluk Intan pada Mei tahun lepas.

Yammy menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan kerana tidak bercakap sesuatu yang berlawanan dengan parti dan hanya hadir menemani anak perempuannya.

Yammy tidak membalas surat tunjuk sebab dan tidak menoleh ke belakang sejak itu.

"Saya tidak melakukan sebarang kesalahan, jadi apa gunanya dalam berada dalam Umno lagi?" katanya.

"Saya hanya bersama-sama dengan anak perempuan saya dan tidak pernah memijak mana-mana pentas untuk berkempen bagi anak perempuan saya.

"Untuk itu, saya diberi surat tunjuk sebab dan beberapa bulan kemudian dipecat daripada parti," katanya.

Najib ditekan berhubung skandal kewangan yang didakwa melibatkan firma pelaburan milik Kementerian Kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Namun, gesaan untuk peletakan jawatannya berlarutan berikutan pengesahan sumbangan RM2.6 bilion yang dipindahkan ke akaun bank peribadinya.


Selain Yammy dan Anina, seorang lagi ahli Umno yang berdepan tindakan adalah bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (gambar, kiri) yang dipecat daripada jawatan parti pada Februari tahun ini.

Khairuddin membuat laporan polis terhadap 1MDB tahun lepas. Parti itu bagaimanapun berkata ia melucutkan jawatannya atas sebab undang-undang kerana dia diisytiharkan muflis.

Khairuddin baru-baru ini cuba mendapatkan bantuan penyiasat antarabangsa berhubung siasatan 1MDB dengan membuat laporan polis di London terhadap firma itu dan rakan usaha samanya PetroSaudi International bagi dakwaan pengubahan wang haram.

1MDB adalah idea Najib dan perdana menteri juga pengerusi lembaga penasihat syarikat yang dibebani hutang itu dan juga menteri kewangan.

- The Malaysian Insider
Labels:

Post a Comment

Mereka semua ketika dalam UMNO kaut sebanyak yang boleh menjadi kaya raya, selepas dipecat atas sebab disiplin menjadi manusia kecewa dan keluarlah macam tak berbaloi lah, itu la ini la, ini sikap manusia kecewa.

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget