BN bakal rampas Piasau dan Pujut: Adenan

Gandingan ketiga-tiga calon BN dan calon langsung BN di Miri mampu beri kemenangan kepada BN

MIRI: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yakin gandingan ketiga-tiga calon Barisan Nasional (BN) dan calon langsung BN di Miri mampu memberi kemenangan kepada BN sekali gus merampas semula kerusi Pujut dan Piasau.

Adenan berkata Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting akan bertanding mewakili BN di DUN Piasau manakala bekas Pengerusi UPP Bahagian Piasau Datuk Hii King Chiong pula akan bertanding di DUN Pujut.

Sementara itu bekas Menteri Muda Perhubungan yang juga Naib Presiden SUPP  Datuk Lee Kim Shin kekal di DUN Senadin.

“Saya gembira kerana akhirnya ketiga-tiga calon ini berganding bahu dan bekerjasama sekali gus menunjukkan berakhirnya masalah sebelum ini.

“Saya yakin gandingan mereka bertiga membawa kemenangan besar semasa Pilihan Raya Negeri nanti,” katanya.

Beliau berkta demikian ketika berucap di hadapan lebih 6,000 kakitangan Samling di seluruh negeri yang datang berkampung di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini, semalam.

Majlis perjumpaan warga kerja Samling itu turut dihadiri Presiden Kumpulan Syarikat Samling Tan Sri Yaw Teck Seng, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Samling Datuk Seri Yaw Chee Ming, calon BN untuk kerusi Bekenu Rosey Yunus, Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Datuk Sebastian Ting (Piasau) dan Datuk Hii King Chiong (Pujut).

Sambutan hangat dan sokongan padu yang dizahirkan pada setiap lawatan beliau di seluruh negeri, memberikan lagi keyakinan kepada Adenan bahawa BN akan memperoleh kemenangan dan majoriti besar pada PRN pada 7 Mei kelak.

“Saya yakin rakyat negeri ini kekal menyokong dan berdiri di belakang parti komponen BN dan calonnya sekali gus bakal mengembalikan mandat kepada BN sebagai kerajaan  pemerintah,” katanya.

Adenan memberi amaran kepada pekerja Samling bahawa jika memilih untuk mengundi pembangkang mereka mungkin akan kehilangan pekerjaan kerana polisi pembangkang yang berbeza.

Beliau berkata pembangkang sudah pasti akan memecahkan polisi dominasi syarikat besar ini dengan memberi konsensi kepada syarikat kecil.

“Berapa lama syarikat kecil ini boleh bertahan? Anda fikirkanlah sendiri, anda  mahu undi DAP atau hilang pekerjaan,” kata beliau.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget