KUCHING: Larangan masuk ke atas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk
Jamal Md Yunos memasuki Sarawak membuktikan kerajaan negeri melaksanakan
undang-undang larangan masuk ke negeri ini secara saksama.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu
(PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, kerajaan negeri melaksanakan larangan
tersebut kepada mana-mana individu yang dianggap boleh menggugat ketenteraman
dan kesejahteraan sedia ada di sini.
Katanya kerajaan negeri juga mempunyai cara tersendiri untuk menyiasat
latar belakang seseorang individu itu.
“Seandainya individu yang mahu datang ke Sarawak dikenal pasti sebagai
seseorang yang ‘tidak sesuai’ yang boleh menggugat keharmonian di sini
(Sarawak), tidak kira mereka adalah penyokong Barisan Nasional (BN) mahupun
pembangkang, maka kehadiran mereka akan disekat.
“Saya percaya ini perlu dilakukan agar perpaduan kaum di negeri ini
tidak digugat oleh mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya
ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.
Jelasnya, amat sukar bagi kerajaan untuk membina perpaduan dan
kesejahteraan rakyat negeri ini dan sudah pasti kita tidak mahu melihat ia
dirosakkan dalam sekelip mata oleh mereka yang langsung tidak mempunyai rasa
cinta kepada negeri ini.
Difahamkan, Jamal yang juga pengerusi Gabungan NGO Malaysia datang
bersama beberapa ahli daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), diarah
pulang ke ibu negara serta-merta sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuching (LTAK) di sini, semalam.
Sementara itu, menurut AMT PBB Datuk Idris Buang, larangan masuk
individu atau mana-mana pihak ke negeri ini merupakan hak mutlak rakyat
Sarawak.
Katanya larangan tersebut jelas termaktub dalam perlembagaan dan
undang-undang imigresen khususnya melibatkan hak urus tadbirnya.
“Ini (sekatan) langsung tidak boleh dipertikaikan. Terdapat akta yang
memperuntukkan hak untuk menghalang sesiapa sahaja, tidak kira individu mahupun
pihak tanpa mengira latar belakang fahaman politik.
“Seandainya mereka didapati mempunyai ciri-ciri yang boleh menggugat
perasaan serta keharmonian rakyat negeri ini, kehadiran mereka perlu dihalang
dan disekat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu bahawa Pengerusi Parti
Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen tidak seharusnya
mempertikaikan dasar sekatan tersebut sedangkan parti itu berasal dari
Semenanjung Malaysia.
“Pihak (DAP) itu berasal dari Semenanjung Malaysia dan ada antara
ahlinya yang boleh menggugat perasaan dan keharmonian kaum di sini sama seperti
Jamal.
“Chong sendiri membawa roh
perjuangan DAP Semenanjung Malaysia dan dia tidak ada pendirian kukuh serta
mutlak untuk menyuarakan hak Sarawak selagi perjuangannya itu berlandaskan roh
perjuangan dari sana (Semenanjung Malaysia),” jelasnya. – Utusan Borneo.
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.