DAP Sarawak sokong tindakan Dr. Benny


SIBU: Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong Yap Hoi Liong menyambut baik cabaran dikeluarkan Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong Dato Sri Dr Benny Lee kepada tiga calon langsung Barisan Nasional (BN) di kawasan tengah tentang masa depan politik mereka selepas Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini.

Beliau menyifatkan tindakan Dr Benny itu secara tidak langsung turut menguji kesetiaan calon langsung BN terbabit.

“Bagi kami, ini adalah satu kenyataan amat baik dan kami daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) amat mengalu-alukan langkah beliau itu.

“Selain itu, kami sangat berharap Dr Benny bertindak berani berpegang kepada apa yang beliau katakan itu,” katanya ketika ditemui selepas mengambil borang penamaan calon PRN11 di sini, semalam.

Dr Benny petang kelmarin mengadakan sidang media di sini dengan memberi kata dua kepada tiga calon langsung BN tentang hala tuju politik mereka sama ada kembali kepada SUPP atau sebaliknya jika diberi mandat oleh rakyat pada PRN ini.

Dr Benny mahu mereka memberi jawapan sebelum 20 April ini (hari ini) jika tidak SUPP akan berbuat apa sahaja untuk mempertahan hak mereka.

Beliau mendakwa, persoalan itu adalah datang daripada sekumpulan pengundi Dudong yang tidak berpuas hati terhadap ‘kehadiran’ calon langsung BN di konstituensi tersebut.

Sambil menyifatkan tindakan Dr Benny itu sebagai tindakan berani dan bercakap mewakili rakyat, Yap berharap beliau tidak bermain-main dengan politik.

Beliau memberi contoh kepada kes calon BN DUN Pending Milton Foo yang mengkritik Adenan tentang calon langsung BN yang dianggap oleh SUPP tidak mengikut prinsip BN.

“Bagaimanapun, pada hari berikutnya beliau menarik balik kenyataannya itu,” katanya sambil menambah bahawa beliau percaya Dr Benny tidak menimbulkan keraguan serta berpegang teguh kepada kata-katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget