GST isu lapuk mainan pembangkang


KANOWIT: Isu mengenai bebanan akibat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sering menjadi bahan berkempen pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini dianggap sebagai isu lapuk.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata orang yang banyak mengeluh tentang isu GST ini adalah kebanyakannya orang yang tinggal di kawasan bandar khususnya pembangkang.

“Kita yang tinggal di rumah panjang tidak mengeluh mengenai GST sebaliknya mereka yang tinggal di bandar mengeluh. Pembangkang menggunakan isu ini untuk berkempen meracuni fikiran rakyat di kawasan luar bandar untuk memburuk-burukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Ngemah di Rumah Daniel Rangkong, Sungai Bawan di sini, semalam.

Masing menjelaskan, sebenarnya pembangkang tidak tahu apa-apa kebaikan dan manfaat di sebalik kerajaan memperkenalkan GST.

Turut hadir Naib Presiden PRS Datuk Joseph Mauh Ikeh, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Penyandang DUN Ngemah Alexander Vincent berserta isteri Susan Clement, Naib Ketua Wanita PRS merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Angeline Umis Tujok, calon BN-PRS DUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, calon BN-PRS DUN Tamin Christopher Gira Sambang, Ahli Majlis Tertinggi PRS Edwin Banta dan Tuai Rumah Daniel.

Masing mengulas lanjut mengenai manfaat GST ini, memberitahu bahawa cukai tersebut berperanan menyumbang ke arah pembangunan kepada negeri ini amnya.

Jelasnya, tanpa GST mungkin projek Lebu Rraya Pan Borneo tidak dapat dilaksanakan serta pembangunan di luar bandar agak sukar diperkasakan.

“GST turut membantu rakyat hidup dengan selesa dan bukannya membebankan rakyat. Kerajaan BN bijak mengurus hasil GST ini dengan menterjemahkannya kepada pembangunan.

“Di negara kita ini, hanya 10 peratus atau bilangan kira-kira satu juta orang yang membayar cukai pendapatan. Justeru, kerajaan mengambil inisiatif untuk melaksanakan GST ini untuk semua orang tidak terkecuali.

“Sistem GST merupakan yang terbaik kerana sejak ia dilaksanakan banyak manfaat diperolehi oleh negeri ini melalui pembangunan dan ia telah menampakkan hasil,” jelasnya yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Kemajuan Tanah.

Beliau yang juga penyandang DUN Baleh mengingatkan rakyat supaya tidak mendengar tentang isu-isu GST lagi sebaliknya berfikir positif bahawa GST adalah penyumbang kepada pembangunan negara ini.

“Cukuplah kita mendengar atau membaca aduan-aduan daripada sesetengah pihak yang sengaja mengetengahkan isu GST ini di laman sosial dan sebagainya. Mereka cuma mahu menghasut anda untuk membenci kerajaan tanpa berfikir sedalam-dalamnya apa manfaat GST sebenarnya,” tambahnya.

Terdahulu, Alexander dalam ucapannya berkata beliau bersedia menghadapi cabaran daripada pembangkang atau calon Bebas pada PRN ini di DUN Ngemah.

Menurutnya, beliau yakin dengan sokongan rakyat di kawasannya akan memberi semangat untuk dirinya bersama jentera pilihan raya DUN Ngemah berjuang habis-habisan.

“Kita tidak gentar dan bersedia menghadapi sesiapa sahaja yang mahu menentang,” jelasnya.

Beliau memberitahu bahawa tiada calon BN lain atau calon langsung BN di DUN Ngemah melainkan dirinya diletakkan mewakili BN-PRS pada PRN ini.

“Saya menyeru kepada rakyat di kawasan Ngemah supaya menolak pembangkang atau calon Bebas serta tidak terpengaruh dengan kata-kata manis mereka. Itu hanyalah untuk memperdayakan rakyat,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget