MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin perjuangan mempertahankan tanah
Hak Adat Bumiputera (NCR) dan kepentingan penduduk peribumi akan membolehkan
kemenangan berpihak kepada mereka di kerusi DUN N.66 Murum dalam Pilihan Raya
Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi PKR Hulu Rajang Abun Sui Anyit yakin beliau akan mendapat
sokongan besar daripada pengundi melihat kepada usaha berterusan parti dalam
memperjuangkan hak rakyat termasuk bantahan pembinaan projek empangan di Murum.
“Saya percaya rakyat Murum akan sokong PKR. Saya bersama mereka sejak
2009. Saya percaya dengan hubungan akrab ini, kita akan memiliki kemenangan
ini, “ katanya kepada pemberita semalam.
PKR Murum melawat dan bertemu dengan rakyat di hampir semua kawasan dan
rumah panjang di Long Murum, Asap dan Daerah Mengundi Tubau.
Beliau juga percaya, sokongan kuat daripada rakyat kepada PKR akan
memberi saingan sengit kepada calon BN Kennedy Chukpai.
“Jika saya dipilih, saya tidak akan mengenakan sebarang bayaran untuk
kerja-kerja perundangan. Saya akan terus berjuang mempertahankan rumah panjang.
Inilah janji saya,” tegas Abun.
Abun berkata jentera pilihan raya mereka telah bersedia sepenuhnya untuk
menempuhi PRN pada bulan depan.
Jentera PKR N.66 Murum telah dilancarkan pada Julai 2015 dan bersedia
untuk menawan Murum yang merupakan antara 11 kerusi baharu Dewan Undangan
Negeri (DUN) Sarawak.
Pemilihan Abun sebagai calon berpotensi PKR untuk kerusi Murum telah
diumumkan pada November lalu.
Selain membangkitkan isu
NCR, Abun juga mengetuai penduduk di Murum untuk menentang rancangan kerajaan
menjadikan 18 pulau yang terletak di hulu Empangan Bakun sebagai taman negara. –
Utusan Borneo.
Post a Comment